Dua maut kereta rempuh treler


ANGGOTA bomba dan JPAM berusaha mengeluarkan mangsa daripada kereta yang remuk selepas merempuh treler di Kilometer 232.5, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), berhampiran Plaza Tol Kuantan, pagi semalam. Gambar kecil, Muhammad Hilmy Hamzah (atas) dan Aziz Hussin.


Seorang lagi rakan tertidur di tempat duduk penumpang hanya cedera ringan 


KUANTAN: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu atas urusan perniagaan, maut akibat tersepit selepas kereta Mercedez Benz S280 dipandunya merempuh belakang treler membawa muatan besi di Kilometer 232.5, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), berhampiran Plaza Tol Kuantan, pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Muhammad Hilmy Hamzah, 34, dari Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Turut terbunuh di tempat kejadian ialah penumpang belakang, Aziz Hussin, 49, dari Batu Pahat, Johor dipercayai akibat kecederaan sama. 


Seorang lagi rakannya, Norhasni Ismail, 33, dari Seksyen 7, Bangi, Selangor mengalami luka di pipi kiri akibat terkena kaca dan masih menerima rawatan di Wad Pemerhatian, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini. 


Ketua Polis Daerah, Asisten Komsioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata mayat Muhammad Hilmy dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Kuantan manakala mayat Aziz dikeluarkan anggota polis. 


Menurutnya, Norhasni yang cedera ringan pula dibantu orang ramai sebelum dikejarkan ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut. 


Mohd Jasmani berkata, kemalangan itu berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Hilmy dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi yang menuju ke bandar ini. 


“Pemandu treler terbabit berusia 50 tahun dari Batu Caves, Selangor yang berada di lorong kiri mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang sebelum berhenti di tepi jalan untuk membuat pemeriksaan lanjut. 


“Siasatan juga mendapati, ketika kejadian Norhasni dikatakan sedang tidur di tempat duduk penumpang dan mendakwa tidak tahu bagaimana kemalangan terbabit berlaku,” katanya di sini, semalam. 


Menurutnya, pada masa sama, polis mengambil keterangan pemandu treler terbabit untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.


Sementara itu, isteri Muhammad Hilmy yang baru lima bulan melahirkan anak kelima dan ditemui di HTAA, gagal ditemuramah kerana tidak dapat menahan kesedihan selepas mendapat tahu mengenai kemalangan terbabit.


Berita Harian & myMetro
14 Mei 2011

*Sama2 kita sedekahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa terutama kepada Keluarga Muhammad Hilmy Hamzah, Semoga tabah menerima ujian Allah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.. Al- Fatihah...

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes