GPS bantu sebar agama




MENERIMA pelbagai panggilan telefon, terutama bagi memastikan kedatangan saya dalam program, sudah menjadi kebiasaan. Saya kira deringan telefon menjadi sebahagian irama dalam diri saya sejak muncul Imam Muda Unggul dalam program Imam Muda Siri Kedua.
Rata-rata pemanggil bukan setakat memastikan kehadiran saya, malah memberi cara bagaimana untuk pergi ke lokasi program dengan panjang lebar.

Walaupun dengan penerangan diberi, mencari lokasi memang sukar, apatah lagi apabila perlu memandu ke lokasi yang saya tidak pernah sampai.

Jika bukan disebabkan undangan atau hajat orang, memang saya tidak akan sampai ke lokasi itu. Sesat, jalan mati dan terlajak melangkaui tempat menjadi perkara biasa.


Kata orang, alah bisa tegal biasa. Ia sebahagian daripada cabaran yang saya hadapi dalam usaha dakwah.

Bagaimanapun, semua rintangan itu bukan alasan untuk saya tidak melakukan usaha dan tanggungjawab itu. Semua perkara ada penyelesaiannya, kecuali mati.


Kecanggihan teknologi yang ada masa kini patut dimanfaatkan sebaiknya. Seorang sahabat mencadangkan saya sentiasa membawa ‘teman teknologi’ yang boleh membantu menunjuk arah ke mana saja saya pergi.

Teman teknologi yang saya maksudkan itu ialah Global Positioning System atau GPS. Alhamdulillah. Setelah menggunakannya beberapa bulan, saya akui peranti ini tergolong dalam kategori ‘teman tapi mesra’ kerana keupayaannya menunjuk arah dengan tepat, lengkap dengan suara pilihan yang mesra.

Saya suka berkongsi pengalaman saya mengguna teknologi ini bersama pembaca. Seperti kita ketahui, GPS bukan teknologi baru sebenarnya, walaupun kini banyak digunakan masyarakat di seluruh dunia.

Jika kita imbas, konsep penggunaan GPS digambarkan ketika perjalanan Nabi Muhammad SAW sewaktu Israk Mikraj. Rasulullah SAW mengembara merentas jarak dan masa dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis atas kehendak dan panduan Allah SWT.

Pada zaman unta menjadi bahtera utama di samudera padang pasir, sukar kita bayangkan perjalanan dari Makkah ke Palestin sejauh 1,500 kilometer atau 40 hari perjalanan, apatah lagi unta menjadi kenderaan utama.

Perkara yang patut kita fikirkan ialah bagaimana Rasulullah SAW dapat tepat menuju ke destinasi yang baginda belum pernah pergi jika tanpa petunjuk atau ‘navigation’ Allah tetapkan.

Dengan panduan Allah, baginda sampai ke destinasinya di Al Masjidil Aqsa dengan selamat tanpa sesat dan keliru biarpun tidak pernah sampai ke tempat itu.

Allah SWT menerusi surah Al-Israk, ayat 1, berfirman: “Maha Suci Allah, yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda- tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” Malah, ia juga dinyatakan dalam surah Al-Najm, ayat 1-2 yang bermaksud: “Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru.” Gambaran ini boleh dikatakan sebagai satu perjalanan yang disokong teknologi ‘GPS’ dengan menetapkan koordinat lokasi hendak dituju.

Ini sama dengan sistem navigasi GPS yang jarang mengecewakan pengguna berikutan koordinat tepat tanpa mengira cuaca, siang dan malam di serata dunia.

Secara ringkasnya, GPS merujuk kepada sistem yang boleh menentukan kedudukan seseorang atau lokasi sama ada di darat, air dan udara, melalui pancaran satelit mengelilingi bumi.

Konsep globalisasi atau dunia tanpa sempadan akan lebih mengecil kerana teknologi GPS tidak lagi merujuk sesuatu kedudukan atau lokasi dalam bentuk nama, tetapi dengan satu titik spesifik iaitu koordinat longitud dan latitud. Contohnya Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar koordinat GPS-nya ialah N3 07.800 E101 44.030.

Antara kegunaan meluas sistem GPS ialah sebagai sistem sokongan pemetaan dan pemandu arah sewaktu dalam perjalanan khasnya bagi pelayaran di laut dan penerbangan di udara.

Bagi pengguna GPS, setiap jalan atau ‘waypoint’ yang dilalui ke sesuatu koordinat atau destinasi boleh ditentukan walaupun tidak pernah sampai ke tempat itu.

GPS menekankan ketepatan dan pemerincian maklumat sebagai keutamaan dan kesannya perjalanan semakin lancar dan masa dapat diurus lebih bijak.

Dengan ilmu Allah kurniakan, manusia mencipta sistem GPS sebegitu hebat kerana aplikasinya berfungsi secara nyata atau ‘real time’ di mana saja penggunanya berada.

Dengan menggunakan GPS, kita juga boleh merekodkan sesuatu lokasi menarik atau ‘Point of Interest’ (POI) sepanjang perjalanan untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama.

Maksudnya, maklumat POI itu boleh dikongsi bersama dan dijadikan rujukan tepat daripada segi kedudukan dan gambarannya yang terperinci.

Persoalannya, bagaimana penggunaan GPS dapat memudahkan amalan muamalat seharian kita dan apakah manfaatnya kepada umat Islam di Malaysia? Senario penggunaan GPS di Malaysia di kalangan umat Islam, masih asing, khususnya di kalangan pegawai berkuasa, pendakwah dan mereka yang berkaitan dengannya.

Umat Islam harus berfikiran positif dan menggunakan kemajuan GPS kerana banyak maklumat boleh dikongsi melalui teknologi GPS demi kemaslahatan bersama.

Sungguhpun begitu, manfaat penggunaan GPS tidak berkesan dalam sebuah komuniti kecil kerana sumbangan maklumat POI memerlukan pembabitan ramai pengguna serta maklumat dikongsi dalam bentuk koordinat hanya dapat diakses dan diguna pakai dengan penggunaan teknologi GPS.

Bayangkan jika wujud satu portal GPS Muslim di Malaysia yang berfungsi sebagai platform pertukaran maklumat POI yang disumbangkan pengguna GPS di luar.

Sumbangan maklumat POI daripada pengguna GPS adalah pelbagai kepada masyarakat Islam sejagat seperti masjid mengikut kategori seni bina dan sejarah, restoran halal, pusat pendidikan dan syarikat perniagaan orang Islam.

Ini sebenarnya secara tidak langsung membuatkan amalan muamalat seharian sesama orang Islam berkembang pesat dan sistem ekonomi masyarakatnya juga akan meningkat.

Sebagai contohnya, sekarang ini masyarakat Islam kita sungguh prihatin mengenai makanan halal dan mereka berusaha mencari pembekal makanan halal dan terbaik walaupun jauh.

Oleh kerana kekurangan maklumat pembekal dan kesukaran menjejak lokasi, pengguna terpaksa mencari alternatif yang status halalnya kadangkala meragukan.

Bagi pendakwah pula, penggunaan GPS boleh meningkatkan tahap profesionalisme ketika menjalankan tugas.

Golongan pendakwah adalah komuniti kembara kerana kerap diundang berceramah, mengendalikan kelas agama dan sebagainya saban hari serata tempat.

Jadi, penggunaan GPS dapat melancarkan urusan tugas berkaitan perjalanan dan lokasi. Sebarang maklumat POI lokasi program dan jadual penceramah juga boleh disebar melalui Portal GPS Muslim untuk memudahkan orang ramai mengikutinya.

Kerana itu, buanglah sifat fobia terhadap peranti berteknologi tinggi kerana penggunaan GPS harus dilihat sebagai saluran perkongsian maklumat secara tepat, pantas dan efisien dalam menentukan kedudukan lokasi dan memudahkan urusan muamalat sesama orang Islam.

# Harian Metro

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes