Kes Berprofil Tinggi Mona Fendi Part 21


Hampir keseluruhan keterangan Affandi adalah satu pembohongan dan OKT kedua mahu mahkamah mempercayai keterangannya. OKT kedua juga mengakui mahu menjual kereta milik Mazlan bernombor pendaftaran CAA 5115, tetapi berkenaan songkok, tongkat dan azimat tidak dijual kerana bukan haknya, tapi hak mangsa (Mazlan). Keterangan ini bercanggah di antara satu sama lain. OKT kedua juga berkata, pada 6 atau 7 Julai 1993, dia bersama OKT ketiga, anak mereka (Mazdiana Affendy), Tengku Yahya dan Simon (Tan Teck Seng) ke tempat kejadian semula untuk mengambil dokumen Mona. Pemergian sebenar OKT kedua dan ketiga ke sana untuk memastikan semua arahan Affandi dan Mona kepada Juraimi telah dipatuhi sepenuhnya.

Ini kerana telah menjadi satu trend kepada semua penjenayah untuk melawat kembali tempat kejadian bagi memastikan semua bukti yang boleh mengaitkan si penjenayah itu dihilangkan atau dikenali sebagai `Doctrine of Lapse'.

Ini dapat dilihat pada barang kes P22 (rakaman percakapan beramaran Mona) pada muka 31 para 50, di mana OKT ketiga mengatakan "Kami berada di Ulu Dong kira-kira satu jam sahaja. Sebenarnya tujuan kami balik untuk periksa keadaan rumah dan Gondrong (Juraimi) tentang kematian Datuk Mazlan". Pada muka 28, para 43 baris lima, OKT ketiga mengatakan "Ketika itu saya nampak Affandi berpaling kepada Gondrong sambil memberi isyarat kepadanya dengan mengarahkan matanya supaya Gondrong jalankan kerjanya. Saya nampak Gondrong memegang kapak dan terus `dum' ke leher Datuk Mazlan." Keterangan OKT ketiga dari kandang orang kena tuduh juga tidak patut diambil kira oleh mahkamah, sebaliknya rakaman percakapan beramaran Mona mestilah diterima. Sebelum 22 Julai 1993, Juraimi adalah dalam keadaan tidak boleh berfikir dengan waras dan tidak boleh mengetahui sebab serta akibat daripada perbuatannya serta tidak boleh mengawal pergerakan dirinya sendiri. Dia telah menjadi seperti robot kepada OKT kedua dan ketiga. OKT pertama juga dijadikan tempat untuk membuang segala bebanan kerja jahat OKT kedua dan ketiga.

Perancangan ini dapat dilihat daripada mereka masih di Kuantan lagi yang mana semua bil diletak atas nama Juraimi, setelah dia tidak lagi diperlukan, OKT pertama ditinggalkan untuk menghadapi apa-apa saja yang bakal menimpa dirinya. Menurut keterangan saksi pembela ke-4, Sarjan Masara Yuasuap keadaan OKT pertama ketika ditahan adalah seperti  seorang penagih dadah kerana berada dalam keadaan khayal, mata merah berair, bercakap tak tentu arah, rambut panjang paras bahu, muka cengkung, badan kurus dan pakaian lusuh dan kotor. Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam, Masara mengatakan OKT pertama kurang normal dan ada masa kita bercakap dengan dia, dia diam dan ada masa dia tak faham apa kita cakap. Masara juga memberi keterangan pada masa ini Juraimi nampak gemuk, rambut pendek, muka dia cerah dan pakaian kemas.

Keterangan saksi pembela ke-6, Sarjan Mejar Mashood Yaacob juga sama dengan keterangan saksi pembela ke-4, yang mana saksi ke-6 berkata, OKT pertama bermata kuyu, badan kurus, berambut panjang serta berpakaian lusuh dan kotor. Mahpop juga berpuas hati OKT pertama ditangkap atas alasan dadah kerana keadaan Juraimi ketika itu seperti penagih dadah. Menurut keterangan Masara dan OKT pertama, OKT pertama ke Balai Polis Dong sebanyak dua kali (pada 13 Julai 1993). Juraimi berkata, pada kali pertama beliau dibawa ke Balai Polis Dong dengan sebuah landrover polis dan kemudian dilepaskan kerana OKT pertama hendak beri makan burung dan itik, serta pegawai juga tiada. OKT pertama disuruh datang pada jam 7 malam. Juraimi agak terlewat dan menelefon Balai Polis Dong dari Kampung Pamah Kulat mengatakan dia terlewat sedikit.

Kedatangan kali kedua ini bolehlah dikatakan sebagai serah diri dan OKT pertama tidak gentar atau takut ke Balai Polis Dong kerana ini jelas menunjukkan dia tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Sekiranya OKT pertama tahu apa yang telah dilakukannya itu menyalahi undang-undang, ketika dilepaskan kali pertama itulah peluang yang sehabis baik untuk dia melarikan diri. Jelas bahawa Juraimi, tidak mempunyai sebarang motif, niat dan tujuan berkaitan dengan tragedi kejadian itu. Memandangkan kepada keterangan yang ada, OKT pertama tidak boleh disabitkan kesalahan membunuh dengan niat bersama yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tetapi Juraimi mestilah dihukum mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan. Dari segi perlakuan, OKT pertama adalah seorang pendiam, sabar, tidak pernah menyakiti hati orang, tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah sebelum ini dan orang kampung tidak pernah mengadu apa-apa hal yang tidak baik terhadapnya. Demikian yang diterangkan oleh saksi ke-3 pembela, Husin Jamaluddin.

Saksi pendakwa ke-58, Noraini Abdul Rahman juga menyokong pandangan ini dengan mengatakan Juraimi adalah seorang yang baik dan pendiam. Kebenaran ini juga disokong oleh Affandi sendiri yang berkata, OKT pertama tidak banyak cakap, rajin serta tekun dan taat kepadanya. Dengan keadaan inilah OKT kedua mengambil kesempatan untuk mempergunakan OKT pertama. OKT pertama juga mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa dendam terhadap Mazlan. Dia juga tidak pernah bergaduh, bermasam muka atau menyinggung perasaan mana-mana pihak. Malah, hubungan OKT pertama dengan Mazlan macam biasa saja. Juraimi juga tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Mazlan, baik dari segi perbadi mahupun perniagaan. OKT kedua juga mengatakan setahunya OKT pertama tidak ada apa-apa perselisihan faham dengan Mazlan. Oleh demikian dengan bukti serta autoriti yang telah dijelaskan, adalah dengan ini dihujahkan bahawa OKT pertama tidak ada langsung niat bersama untuk membunuh Mazlan dan ketika Juraimi menetak leher Mazlan, dia melakukannya dalam keadaan tidak sedar yang menyebabkannya tidak tahu akibat serta natijah daripada perbuatannya dan oleh itu dia patut dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Bersambung....... hujah penggulungan Affandi dan Mona selepas ini.

* hasil nukilan di atas telah diedit dengan selera sendiri (copy > edit > paste) dari http://www.cakap.net, hasil tulisan WebZone-_-Attack. Harap halal la.. lalalala.. tq~

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes