Kes Berprofil Tinggi Mona Fendi Part 23


TIMBALAN Pendakwaraya, Zakaria Sam menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh ialah:

"Bahawa kamu di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993, di sebuah rumah tanpa nombor, di Kampung Peruas, Ulu Dong, dalam daerah Raub di dalam negeri Pahang, dengan niat bersama seperti yang ditakrifkan oleh Seksyen 34 Kanun Keseksaan, telah melakukan kesalahan bunuh, iaitu menyebabkan kematian YB Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris (nombor kad pengenalan 1317702) dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama."


Fakta yang tidak dipertikaikan di sini ialah:

1. Pada hari pembunuhannya Datuk Mazlan telah mengeluarkan wang hampir RM300,000 dari beberapa bank di Kuala Lumpur.

2. Jasad yang ditemui dalam lubang stor di rumah yang didiami oleh Juraimi, Affandi dan Mona di Ulu Dong adalah jasad Mazlan.

3. Mazlan telah dibunuh di rumah tempat kediaman ketiga-tiga tertuduh pada 2 Julai 1993 jam lebih kurang 11.30 malam.

4. Pada masa kejadian ketiga-tiga mereka berada di situ.

5. Ketiga-tiga tertuduh mengenali Mazlan beberapa bulan sebelum kejadian.

6. Juraimi telah membawa pihak polis kepada penemuan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Apa yang dipertikaikan di sini ialah siapakah yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.

- Juraimi mengatakan dia telah menetak leher Mazlan kerana arahan Affandi dan Mona. Sebulan sebelum kejadian, Affandi dan Mona telah membuat rancangan untuk membunuh Mazlan dan dia diminta memberikan kerjasama. Semasa menetak itu dia dalam keadaan tidak sedar.

- Affandi dan Mona pula di satu pihak mengatakan pada malam kejadian ketika mereka menjalankan upacara mandi bunga ke atas Mazlan, Juraimi dengan tiba-tiba seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan. Motif Juraimi berbuat demikian kerana cemburukan hubungan Mazlan dengan Noraini. Bagi pihak pendakwa pula, pembunuhan itu adalah hasil perancangan bersama ketiga-tiga tertuduh untuk membunuh Mazlan pada 2 Julai 1993. Dalam usaha membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh, pendakwaan bergantung kepada peruntukan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30 Akta Keterangan. Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan:

"Apabila suatu perbuatan jenayah dilakukan oleh beberapa ramai orang bagi mencapai niat bersama mereka semuanya, tiap-tiap seorang daripada mereka itu adalah bertanggungjawab atas perbuatan itu sama seperti seolah-olah perbuatan itu telah dilakukannya olehnya." Ini bermakna walaupun Juraimi yang menetak leher Mazlan sehingga membawa maut, Affandi dan Mona adalah dianggap turut membunuh Mazlan kerana mereka bertiga telah merancangkan pembunuhan itu bersama-sama. Pembunuhan itu adalah satu operasi yang dirancangkan bersama-sama oleh ketiga-tiga tertuduh. Tetakan pada leher Mazlan dan kemudian jasadnya dikerat-kerat dan lapah dagingnya adalah bukti niat untuk membunuh.

Tugas setiap tertuduh telah ditentukan lama sebelum kejadian:

- Satu lubang yang besar dan dalam digali oleh Juraimi beberapa hari sebelum kejadian,

- Juraimi telah mengasah kapak, Affandi dan Mona setiap seorang mengasah sebilah parang yang akan digunakan dalam pembunuhan itu,

- Affandi dan Mona akan berpura-pura menyediakan Mazlan untuk membuat ibu duit dengan membaring dan mendongakkan kepalanya,

- Juraimi akan menetak leher Mazlan,

- Mayat itu akan dikerat-kerat dan dilapah, kemudian ditanam dalam lubang stor dan disimen supaya pembunuhan itu tidak dapat dikesan. Seksyen 30 Akta Keterangan pula memperuntukkan: "Apabila lebih daripada seorang dibicarakan bersama atas suatu kesalahan yang sama, dan pengakuan salah yang dibuat oleh seorang daripada mereka yang menjejaskan dirinya dan beberapa orang lain itu terbukti, mahkamah boleh menimbangkan pengakuan salah itu bagi menentang orang yang lain itu dan juga bagi menentang orang yang membuat pengakuan salah itu." Ini membawa maksud apabila Juraimi mengaku menetak leher Mazlan di atas arahan Affandi dan Mona, keterangan Juraimi mengesahkan pembabitannya dalam rancangan pembunuhan itu boleh digunakan terhadap Affandi dan Mona untuk membuktikan pembabitan mereka dalam pembunuhan itu. Dalam kes ini, Juraimi melalui keterangannya di mahkamah dan percakapan beramarannya telah mengaku menetak leher Mazlan seperti yang dirancang oleh mereka bertiga. Dia juga dengan percakapan beramaran Mona yang menyebut perancangan mereka bertiga untuk membunuh. Percakapan Mona boleh digunakan terhadap Juraimi dan Affandi. Saya berhujah bahawa adanya niat bersama ketiga-tiga tertuduh untuk membunuh Mazlan. Percakapan beramaran Juraimi dan keterangannya di mahkamah jelas menunjukkan pembabitan Juraimi dalam pembunuhan itu. Juraimi tahu akan niat Affandi dan Mona untuk membunuh Mazlan bagi mendapatkan wangnya, tanah dan harta lain yang berharga. Beliau bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada Affandi dan Mona dalam melaksanakan rancangan itu. Menurutnya, perancangan telah dibuat sebulan sebelum kejadian. Peranannya telah ditetapkan seperti mengasah kapak, menggali lubang, mendirikan stor, mencari kayu dan tayar buruk. Dia ditugaskan untuk menetak leher Mazlan hingga putus, mengerat-ngerat jasad Mazlan, melapah dan seterusanya menanamnya. Juraimi dengan jelas mengatakan dia telah menetak leher Mazlan tiga kali untuk memutuskannya. Ini untuk memastikan Mazlan mati seperti dirancangkan bersama.

Percakapan beramaran Juraimi jelas menunjukkan dia akan menerima habuan sebanyak RM15,000. Walaupun Juraimi dalam keterangannya mengatakan dia tidak mempunyai niat dan sebab serta tidak memperolehi sebarang kepentingan dari segi kewangan dalam pembunuhan itu, itu tidak relevan. Dia menyertai rancangan itu dari awal lagi dengan penuh kesedaran. Katanya, dia diminta bekerjasama dan mengikut saja dan dia mengaku menetak leher Mazlan. Kapak yang diasahnya dengan tajam itulah yang digunakan untuk menetak leher Mazlan. Niat dan motif tidak penting kerana ada keterangan nyata bahawa Juraimi di atas pengakuannya menetak leher Mazlan. Dia tahu perbuatannya salah. Apabila sepupu Mazlan datang bertemunya seminggu selepas kejadian bertanyakan mengenai Mazlan dia mengaku menjadi takut dan terus menanam semua senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Pada 2 Julai 1993 sebelum Mazlan datang pada sebelah malam, Mona telah memberitahu Juraimi bahawa Mazlan akan bawa banyak duit malam itu dan telah suruh Juraimi standby untuk pembunuhan. Keterangan Juraimi, sebulan sebelum kejadian Affandi dan Mona telah memberitahu rancangan mereka kepada saya. Apa yang jelas di sini, rancangan membunuh Mazlan telah dibuat oleh Affandi dan Mona sebulan sebelum Mazlan dibunuh. Ini memberikan masa yang cukup untuk Affandi dan Mona merencanakan rancangan mereka dengan rapi. Mereka menunggu masa yang sesuai iaitu apabila Mazlan membawa duit yang banyak. Saya berhujah, Mazlan mengeluarkan wang yang banyak ini bukan untuk diagihkan kepada penyokongnya, tetapi dibuat ibu duit kerana dia memerlukan wang yang banyak bagi pemilihan Ketua Bahagian Umno. Ini berasaskan dalam kenyataan saksi pendakwa ketiga, Ramlan Majid yang tidak menyebut Mazlan mengagih-agih duit pada malam itu. Encik Gulam ketika menyoal balas Ramlan 'tidak mengemukakan soalan mengenai pengagihan wang.

Juraimi pula mengatakan dia ada mendengar Affandi memberitahu Mazlan, nanti ada orang cakap duit akan banyak jatuh. Adalah jelas pada 1 Julai 1993 lagi, Affandi sudah tahu bahawa pada keesokan harinya Mazlan akan keluarkan banyak wang. Dengan itu dia memberitahu Mona pada 2 Julai 1993 sebelum ke Kuala Lumpur supaya beritahu Juraimi untuk bersedia untuk pembunuhan pada malam itu. Mona menyampaikan arahan itu kepada Juraimi sekembalinya dari menghantar Madiana ke sekolah. Peranan Mona dalam pembunuhan ini jelas dilihat dari percakapan beramarannya. Hujah saya, cerita Juraimi bahawa dia tidak sedar ketika kejadian hanyalah rekaannya semata-mata bagi melepaskan diri dari pertuduhan. Ini berdasarkan alasan berikut:

Perkara dia tidak sedar, tidak ada perasaan, saya khayal semacam sesuatu masuk ke badan, langsung tidak disebut dalam percakapan beramarannya. Kalau tidak sedar bagaimana Juraimi boleh mencari Affandi di Tin Mines, beli cincin dan rantai emas di Kuala Lumpur, bermalam di rumah kawan di Klang dan ceritakan dengan terperinci kejadian pembunuhan dari awal hingga akhir. Juraimi juga mengaku membohongi Penolong Penguasa Mahpop Jaafar ketika ditanya di mana Affandi dan Mona berada pada 19 Julai 1993. Pembohongan itu untuk menutup fakta bahawa ketika itu Mazlan telah mati dan menunjukkan Juraimi sedar apa yang berlaku. Kalau tidak sedar bagaimana Juraimi boleh sedar Affandi beri RM180 pada malam kejadian, Mona beri RM1,000 dan Affandi suruh tambah RM500 pada 8 Julai 1993.

Juraimi juga ingat pesanan Mona RM1,000 untuk makan itik dan RM500 untuk makannya. Cerita Juraimi bahawa dia hanya sedar apa yang berlaku setelah Affandi menyentuhnya di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993 dan memintanya menceritakan apa yang berlaku adalah rekaan Juraimi kerana:

- Kalau dia tidak sedar, dia tidak akan tahu Affandi menyentuh bahunya.

- Juraimi memutuskan untuk menceritakan pada peringkat ini apa yangsebenarnya berlaku kerana Affandi telah beritahu polis rahsia pembunuhan itu. Jadi, tiada sebab untuknya menyimpan rahsia itu.

- Sebelum Juraimi sedar dia boleh mengingati dengan terperinci di mana dan Takbir berdiri dalam bilik di Balai Polis Raub, siapa berada dalam bilik itu termasuk jarak Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd daripadanya. Juraimi juga boleh mengingati dengan jelas telah menetak leher Mazlan tiga kali kerana dua tetakan pertama leher Mazlan tidak putus. Juraimi juga melukis kedudukannya, Affandi dan Mona dalam rajah kasar. Kalau tidak sedar masakan dia boleh ingat dan melukiskan kedudukan itu. Apakah yang dimaksudkan oleh Juraimi bahawa dia tidak sedar? Adakah dia tidak sedar hingga ke peringkat tidak siuman? Beban membuktikan bahawa dia tidak sedar hingga ke peringkat tidak siuman terletak di bahunya. Pembelaan Affandi dan Mona pada malam itu ketika mereka sedang memandikan bunga ke atas Mazlan, tiba-tiba Juraimi datang dan tetak leher Mazlan. Menurut Juraimi, tidak ada mandi bunga, itu hanya alasan Affandi dan Mona.Upacara yang dijalankan pada malam itu ialah upacara membuat ibu duit untuk menggandakan duit Mazlan kerana:

1. Juraimi ada mendengar Affandi memberitahu Mazlan dalam bilik air, nanti ada orang cakap duit akan banyak jatuh.

2. Untuk mandi bunga Mazlan tidak perlu berbaring.

3. Dalam upacara mandi bunga tidak perlu mengeraskan semangat.

4. Tidak perlu Juraimi mengangkut bekas air mandi bunga untuk buang keluar kerana di bilik air itu ada laluan air.

5. Hanya sekuntum bunga orkid digunakan. Untuk mandi bunga beberapa jenis bunga digunakan. Adalah saya berhujah upacara membuat ibu duit malam itu sebenarnya hanyalah alasan untuk Mazlan disuruh berbaring supaya senang lehernya

1. Besen diletakkan di bawah kepala Mazlan untuk menakung darah yang keluar dari lehernya supaya tidak keluar melalui laluan air keluar rumah yang mana akan dilihat orang.

2. Juraimi ada mendengar Mazlan berkata kepada Affandi bahawa dia tidak tahan mendongak lama-lama. Untuk mandi bunga tidak perlu kepala Mazlan didongakkan lama-lama kerana air mandian akan masuk ke teling dan hidung. Ketika berbaring kepala Mazlan diletakkan di atas bendul batu yang agak tinggi. Ini akan menyebabkan lehernya terlindung. Dengan mendongakkan kepala Mazlan di atas bendul yang tinggi leher Mazlan akan terdedah luas bagi memudahkan Juraimi menetaknya dengan tepat seperti dirancangkan.

3. Selimut yang diletakkan di bawah badan Mazlan untuk menyerap darah yang mengalir bagi kurangkan kesan darah.

4. Bilik air itu sempit untuk empat orang. Tanpa perancangan rapi, bukan mudah untuk Juraimi menetak leher Mazlan.

Jadi keterangan Affandi dan Mona bahawa Juraimi masuk dengan tiba-tiba menetak leher Mazlan adalah rekaan mereka untuk mengenakan Juraimi seorang, kerana:

1. Jika benar Juraimi masuk meluru dan menetak leher Mazlan, tangan Affandi dan Mona akan tertetak sama kerana masa itu Affandi kononnya sedang mengusap muka Mazlan dan Mona sedang menjirus muka Mazlan.

2. Apabila kepala Mazlan didongakkan dan Affandi menutup mata Mazlan pada ketika itu Affandi memberi isyarat tangan kepada Juraimi supaya masuk dan tetak leher Mazlan. Sementara itu Affandi dan Mona beralih ke belakang untuk memudahkan Juraimi menetak.

4. Kalau Juraimi meluru masuk dalam keadaan hilang pedoman dia tidak akan dapat menetak dengan tepat leher Mazlan. Ini menunjukkan ada perancangan rapi.

5. Keterangan Affandi dan Mona yang mengatakan Juraimi masuk secara tiba-tiba dan menetak leher Mazlan juga bercanggah dengan percakapan beramaran Affandi:

"Gondrong bangun dan telah mencapai kapak besar yang berada di tepi pintu dekat kami mandikan Mazlan dan terus menetak pada halkum Mazlan."

Cerita Affandi yang tidak konsisten ini jelas menunjukkan dia berbohong mengenai kejadian sebenarnya.

5. Cerita Affandi dan Mona bahawa Juraimi meluru masuk dan seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan adalah cerita rekaan mereka berdua untuk meletakkan beban keseluruhan ke atas bahu Juraimi.

6. Sebelum menetak Mazlan, Affandi ada berpesan kepada Juraimi: "Rong tetak biar tepat jangan salah tempat, kalau tidak habislah kita." Inilah perancangan mereka bertiga.

7. Menurut Juraimi, perancangan awal adalah mereka bertiga akan bersama-sama mengerat badan Mazlan kerana itulah Affandi dan Mona masing-masing mengasah satu parang. Tapi pada malam kejadian Juraimi seorang yang mengerat dan melapah daging Mazlan. Mona dan Affndi ke Kuala Lumpur, tinggalkan Juraimi melakukan kerja itu sendirian.

8. Adalah hujah saya bahawa mayat Mazlan dikerat-kerat dan dilapah supaya cepat busuk dan senang dihapuskan.

9. Juraimi juga ada bertanya kepada Affandi bagaimana dengan mayat ini. Affandi jawab, tanya ibu dulu. Affandi keluar dan jumpa Mona, masuk semula dan berkata, ibu suruh tanam saja. Ini jelas menunjukkan adanya rancangan niat bersama.

10. Selepas kejadian sebelum ke Kuala Lumpur, Affandi telah memberikan Juraimi RM180 dan pada 8 Julai 1993 mereka beri Juraimi RM1,500. Keterangan ini tidak dicabar dan ini menunjukkan ada perancangan bersama. Kalau Juraimi melakukan pembunuhan itu atas sebab-sebab sendiri, tidak ada sebab Affandi dan Mona berinya wang itu.

11. Juraimi menafikan dia ada memberitahu Affandi selepas kejadian. Bapa dan ibu keluar, orang macam ini lebih baik mampus. Ibu bawa adik lari mana-mana, biar Gondrong tanggung. Ini adalah rekaan Affandi untuk
melepaskan dirinya dan Mona. Kalau benar Juraimi ada berkata begini, kenapa pula Juraimi hendak membabitkan mereka berdua? Jika benar Juraimi ada berkata demikian kenapa Juraimi tidak disoal dalam soal balas mengenai perkara ini.

12. Menurut Affandi dan Mona, Juraimi menetak leher Mazlan malam itu kerana Juriami cemburu dengan Mazlan yang mempunyai hubungan sulit dengan Noraini. Ini dinafikan oleh Juraimi dan Noraini. Dengan ini jelas Affandi dan Mona gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan mengenai pembelaan mereka dalam pembunuhan Mazlan. Pembelaan Mona. Pihak pendakwa telah membuktikan kepada mahkamah bahawa Mona telah memberi percakapan beramaran kepada Takbir pada 14 Ogos 1993 dan mahkamah memutuskan percakapan itu diberi secara sukarela dan diterima sebagai barang kes. Dalam percakapan itu, Mona menjelaskan akan rancangan pembunuhan Mazlan oleh mereka bertiga dan bagaimana Affandi telah memberi isyarat kepada Juraimi untuk menetak leher Mazlan dan dia kemudian telah mencuci darah di luar bilik air. Menurutnya, tujuannya dan Affandi kembali ke Ulu Dong pada 8 Julai 1993 untuk memeriksa ke atas rumah dan Gondrong tentang kematian Mazlan. Mona telah memilih memberi penyataan dari kandang tertuduh. Apa pembelaannya? Hanyalah penafian semata-mata. Mona telah menafikan memberi percakapan kepada Takbir. Dalam kenyataannya Mona tidak langsung memberi penjelasan jika dia tidak terbabit dalam rancangan pembunuhan kenapa tidak laporkan kejadian itu atau menasihatkan Affandi laporkan kepada polis. Mona juga tidak menjelaskan kepada mahkamah selepas menyaksikan satu pembunuhan ngeri dan dalam keadaan terkejut dan tergamam, Mona boleh membeli kereta mewah tujuh atau 8 jam selepas pembunuhan, membeli-belah barang kemas dan perabot, menyanyi di music lounge Hotel Park Royal dan menjalani pembedahan plastik. Tindak tanduk atau kelakuannya bukanlah kelakuan orang yang munasabah.

Bersambung... keputusan juri dan penghakiman.


* hasil nukilan di atas telah diedit dengan selera sendiri (copy > edit > paste) dari http://www.cakap.net, hasil tulisan WebZone-_-Attack. Harap halal la.. lalalala.. tq~

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes