Al-Arqam - Sesat lagi menyesatkan Part 4

Berbalik kepada Gerakan Al-Arqam, sejak penubuhannya pada tahun 1968, ahli jemaahnya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Jemaah Arqam bertambah kepada 40 orang ahli jemaah pada tahun 1976, keahlian jemaah ini, menurut penulis, Ann Wang Seng, kemudian bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 1987 jemaah itu mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 keahlian. Menurut Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan. Namun, Utusan Melayu edisi 4 Julai 1994 pula melaporkan seramai 10,000 pengikut. Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-72 di Kampung Datuk Keramat dan beroleh perhatian dan penerimaan ramai setelah bertapak di Sungai Pencala pada 1973-75. 



Sewaktu era 1970an, hanya slogan “Al-Quran dan As-Sunnah” sahaja yang kedengaran. Belum ada slogan “Imam Mahdi - Syeikh Suhaimi”, “Pemuda Bani Tamim” dan sebagainya seperti pada tahun-tahun 1990an. Pada peringkat awal dakwah Arqam, ramai orang yang takut. Ramai orang yang bimbang. Ramai orang yang tidak senang. Macam-macam tuduhan dilemparkan. Berbagai cemuhan, tohmahan dan kata-nista dihalakan kepada dakwah dan orang-orang yang terlibat dengan dakwah. Tuduhan dakwah songsang, buang dunia, balik ke zaman unta, ajaran baru dan bermacam-macam lagi tuduhan dilemparkan. Dakwah diperkecil-kecilkan dan dihina. Ketika itu, slogan Al-Arqam ialah “Bergembiralah dengan Al-Quran dan As-Sunnah”. Polemik-polemik yang mengaitkan Al-Arqam dengan ajaran sesat, pegangan Aurad Muhammadiah, Imam Mahdi, Asy-Syeikh Suhaimi dan seumpamanya belum tersebar. Dalam suasana penghayatan Islam dalam kalangan rakyat Malaysia masih baru, tidak ramai yang bertudung, bahkan ketika itu siapa yang mula bertudung digelar “gagak hitam”, “hantu kongkong”, “ninja”, “dakwah songsang” dan sebagainya. Kendatipun, dakwah Ustaz Asaari di peringkat awal bersama Darul Arqam (dengan ciri fisikalnya yang menonjol: berjubah dan berserban), berjaya menembus banyak lapisan bangsa dan masyarakat, dengan menghidupkan Sunnah Nabi SAW, akhlak mulia serta kasih sayang. Kemunculan ribuan ahli gerakan Al-Arqam di tengah-tengah masyarakat dengan imej serban, jubah dan purdah memberi nafas baru kepada usaha-usaha kembali kepada Islam. Imej dan risalah “Islam yang Syumul (menyeluruh)” diperkuatkan lagi dengan penonjolan Islam bersepadu dan aktiviti muamalah yang giat melalui produk media seperti kaset-kaset ceramah 3 jam Ustaz Asaari yang berjudul: “Keindahan Islam”, “Hakikat Iman”, akhbar-akhbar Al-Arqam, risalah Fardhu Ain, kaset dan persembahan nasyid Islam kumpulan Al-Arqam seperti Nada Murni, The Zikr, penghasilan produk makanan halal seperti mee, kicap, sos dan sebagainya yang ketika itu rata-rata umat Islam bergantung kepada kilang masyarakat belum Islam. Kumpulan nasyid Arqam, Nada Murni dengan berani telah membuat persembahan di pentas yang lebih besar seperti di Dataran Merdeka. Tidak terkecuali mereka turut membuat persembahan di pusat-pusat hiburan dan disko. Dengan penampilan pakaian mereka yang berjubah dan berserban, berbekalkan hati yang tulus ikhlas, mereka mampu menjalankan semua undangan persembahan dengan baik. Perjuangan Nada Murni turut dilakukan melalui penyiaran dan persembahan di media. Memasuki Angkasapuri untuk berkerjasama dengan RTM. Juga bersama-sama TV3 dan juga mana-mana media seperti radio dan akhbar. Lagu-lagu Nada Murni sering disiarkan di siaran televisyen. Satu kejayaan yang sangat baik. Asri Ibrahim dan rakan-rakannya mula merasai perjuangan mereka menjadi semakin jauh, semakin tinggi, dan semakin menyeronokkan. Setiap ahli kumpulan Nada Murni sangat teruja. Darul Arqam juga bersaing hebat dengan Kumpulan Utusan dalam hal pasaran bahan bercetak seperti akhbar, majalah dan buku. Arqam pernah menerbitkan Al-Ain, Komik Dakwah, Comel dan Anak Soleh yang bersaing dengan majalah Utusan Pelajar keluaran Utusan. Sementara itu, majalah Al-Mukminah dan An-Nasihah keluaran Arqam cuba menyaingi majalah Wanita keluaran Utusan. Majalah Al-Islam keluaran Utusan pula terpaksa bersaing hebat dengan majalah Al-Munir dan Al-Qiadah yang mendapat sambutan baik daripada para pengikut setia dan simpatisan Darul Arqam. Ramai tentunya masih ingat Klinik Bersalin Al-Arqam di Desa Minang, Gombak, yang merupakan klinik pertama anjuran gerakan Islam di Malaysia beridentitikan doktor dan jururawat berpurdah dan berjubah putih, mengazankan bayi pada telinga kanan dan mengiqamahkannya pada telinga kiri. 


Ekonomi Al-Arqam semakin besar sehingga mampu membeli pajero, bot, bas dan kereta-kereta mewah yang dahulunya hanya hartawan Cina sahaja mampu menggunakannya. Sehingga terdapat pepatah yang mengatakan, ‘jika ternampak orang Melayu menaiki pajero, tentu dia daripada Al-Arqam.’ Tuntasnya, kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah Islamiah melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, percetakan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.




Bersambung

Sumber:
1. http://aboutmiracle.wordpress.com/2008/07/08/sekilas-gelombang-dakwah-abuya-ashaari-muhammad/;
2. http://arkibnegara.blogspot.com/;
3. http://en-gb.facebook.com/topic.php?uid=123143384380741&topic=452;
4. http://mengenal-abuya.blogspot.com/;
5. http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/05/ghaibkah-ashaari-muhammad.html;
6. http://msianhistoryx.blogspot.com;
7. http://munsyeed.com/v1.9/2010/12/asri-ibrahim-perjuangkan-nadamurni/;
8. http://muslim.or.id/manhaj/darul-arqam-dan-wajah-barunya.html;
9.http://pak-mail.blogspot.com/2011/04/pak-mail-dan-al-arqam.html; http://riwayatmelayu.blogspot.com/2010/08/alter-terahsia-bangsa-melayu-viii.html;
10. http://s13.invisionfree.com/mysahabat/ar/t112.htm;
11. http://tomatosusu.blogspot.com/2010/05/al-arqam-kesesatannya.html; dan
12. http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg00987.html.
13. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/05/darul-arqam-sejarah-suka-duka-bahagian.html

 Terima Kasih.

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes