Al-Arqam - Sesat lagi menyesatkan Part 6



Terdapat sedikit kontroversi semasa pengharaman Darul Arqam yang berkaitan dengan badan politik negara. Beberapa pihak yang mendakwa bahawa Al-Arqam telah membantu menaikkan dan berkempen untuk beberapa orang pemimpin politik tanah air. Antara pemimpin yang didakwa mempunyai hubungan mesra dengan Darul Arqam ialah Tan Sri Sanusi Junid (bekas Menteri Pertanian, bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Kedah); Tan Sri Muhammad Mohd Taib (bekas Menteri Besar Selangor); Allahyarham Tun Ghaffar Baba; Tamrin Ghaffar (anak Tun Ghafar Baba, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam dan bekas Pengerusi MARA); Dato’ Kaharudin Momin (UMNO Selayang dan bekas EXCO Negeri Selangor) dan beberapa orang lagi. 

Abdul Fauzi Abdul Hamid dalam artikelnya pada tahun 2000 yang bertajuk ‘Political dimensions of religious conflict in Malaysia: State response to an Islamic movement, Indonesia and the Malay World’, menyatakan bahawa terdapat dakwaan yang menyatakan Tan Sri Sanusi Junid, Tun Ghafar dan Tamrin Ghafar pernah bekerjasama dengan Darul Arqam bagi menentang ‘Team Wawasan’ pimpinan DSAI yang didakwa terlibat dengan politik wang. Kendati pun, terdapat juga dakwaan yang menyatakan bahawa Tun Ghafar Baba (Allahyarham) telah menggunakan pengaruhnya dalam kalangan guru-guru veteran Melayu untuk menundukkan Al-Arqam. 

Sementara itu, Tan Sri Zainudin Maidin dalam bukunya, ‘Hari itu sudah berlalu’ menyatakan bahawa pada suatu bulan puasa, ketika berbuka puasa di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di Damansara, beliau mendapati bahawa DSAI turut menjemput ramai jemaah Al-Arqam. Beliau membuat kesimpulan bahawa DSAI pada asalnya menyokong jemaah Darul Arqam.

Hj. Hassan Mokhtar, mantan Setiausaha Majlis Syuyukh (Tertinggi) Al-Arqam, merupakan sahabat ikrab DSAI sejak sekian lama. Akan tetapi, sewaktu DSAI memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau menyokong tindakan ke atas Darul Arqam dan menegaskan bahawa ia adalah semata-mata atas alasan pertubuhan tersebut melanggar ajaran Islam, selain menafikan bahawa Al-Arqam dianggap sebagai satu ancaman politik kepada UMNO-BN. Beliau menekankan lagi, hal ini demikian memandangkan ahli-ahli Darul Arqam ‘bukan pengundi berdaftar’ dan tidak mampu mengubah atau mempengaruhi trend undian. Dalam satu sidang media bersama wartawan Thailand, DSAI menidakkan Darul Arqam sebagai masalah agama yang kecil yang tidak perlu ditangani sebagai ‘isu keselamatan’ (akhbar ‘Bangkok Post’, 21.9.94). Beliau juga berharap agar ISA dikenakan terhadap 8 orang pemimpin Darul Arqam, termasuklah Ustaz Asaari Mohamad. 

Sementara itu, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berpandangan bahawa Darul Arqam secara jelas telah melakukan dua kesalahan, iaitu: kegagalan mendaftarkan pertubuhan tersebut serta menyebarkan doktrin-doktrin yang salah. Namun, beliau berpandangan bahawasanya kesalahan-kesalahan tersebut tidak menghalalkan penggunaan ISA ke atas mereka. 

Dengan pengaruh dan populariti yang semakin meluas, pada tahun 1991, Darul Arqam secara yakin mengisytiharkan bahawa ia telahpun menerobos era bagi menyempurnakan thoifah (gerakan) kepada ummah: yang merupakan asas membentuk daulah (negara). Pada 1994, selepas Al-Arqam diharamkan oleh kerajaan dan para pemimpinnya dikenakan tahanan ISA, segala kegiatan ekonomi dan pendidikan Al-Arqam yang bergiat cergas sebelum ini dipantau dan ditamatkan dengan pukulan ‘maut’ oleh kerajaan yang diketuai oleh Pusat Islam. Dalam hal ini, Parti Islam Semalaysia (PAS) lebih kepada bersikap tunggu dan lihat. Manakala tuduhan sesat yang dilemparkan kepada Al-Arqam turut diperakui oleh pimpinan PAS. Pimpinan PAS seperti Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presidennya, Dato’ Fadzil Noor sekitar Ogos 1994 membuat kenyataan menyokong fatwa berkenaan pengharaman Darul Arqam dan usaha bagi membendungnya.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerusi Presidennya ketika itu, Dr Mohd. Noor Manutty turut menyatakan sokongannya terhadap usaha pengharaman Al-Arqam. Tindakan dua jemaah Islam ini agak mengecewakan Ustaz Asaari yang mengharapkan sokongan kepada Al-Arqam. Namun, Pertubuhan Nadhatul Ulama di Indonesia menyatakan sokongan dan membela Al-Arqam menerusi sepucuk surat rasmi yang disiarkan dalam akhbar ‘Pikiran Rakyat.’ Meskipun ramai yang memperakui serta menyokong fatwa pengharaman Al-Arqam, namun terdapat satu isu besar yang dipertikaikan: tuduhan palsu mengatakan Kumpulan Al-Arqam mempunyai kem latihan tentera Badar di Selatan Thailand. 

Malahan, dakwaan ini (berkenaan kewujudan militan atau tentera Badar Arqam) turut dinafikan oleh Duta Thailand ketika itu, Surapong Poyanand; Kementerian Dalam Negeri Thailand (menerusi kenyataan rasmi yang dimuatkan dalam akhbar ‘Thailand Times’); Ketua Staf Pentadbiran Sempadan Sleatan Thailand, Visut Singkacharnvorakul; dan Pemerintah Tertinggi Tentera Thailand, Voranart Apicharee. Sehingga ke hari ini, Pusat Islam (JAKIM) masih gagal menunjukkan sebarang bukti terhadap tuduhan lisan mereka itu, sedangkan mereka sebelum itu katanya ada bukti kukuh terhadap apa yang mereka dakwakan itu. Hal ini menimbulkan tanggapan umum bahawa ada unsur politik sewaktu pengharaman Darul Arqam. Bak kata penulis terkemuka, Pak Rustam Sani (Almarhum), ‘…untuk satu tempoh yang lama, Arqam dianggap sebagai satu pertubuhan yang selamat kerana pendirian ‘non-political’ nya. Namun, semuanya sudah berubah sekarang (apabila isu Abuya mahu menjadi Perdana Menteri timbul).’


Bersambung

Sumber:
1. http://aboutmiracle.wordpress.com/2008/07/08/sekilas-gelombang-dakwah-abuya-ashaari-muhammad/;
2. http://arkibnegara.blogspot.com/;
3. http://en-gb.facebook.com/topic.php?uid=123143384380741&topic=452;
4. http://mengenal-abuya.blogspot.com/;
5. http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/05/ghaibkah-ashaari-muhammad.html;
6. http://msianhistoryx.blogspot.com;
7. http://munsyeed.com/v1.9/2010/12/asri-ibrahim-perjuangkan-nadamurni/;
8. http://muslim.or.id/manhaj/darul-arqam-dan-wajah-barunya.html;
9.http://pak-mail.blogspot.com/2011/04/pak-mail-dan-al-arqam.html; http://riwayatmelayu.blogspot.com/2010/08/alter-terahsia-bangsa-melayu-viii.html;
10. http://s13.invisionfree.com/mysahabat/ar/t112.htm;
11. http://tomatosusu.blogspot.com/2010/05/al-arqam-kesesatannya.html; dan
12. http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg00987.html.
13. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/05/darul-arqam-sejarah-suka-duka-bahagian.html

 Terima Kasih.

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes