Al-Arqam - Sesat lagi menyesatkan Part 7



JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – dahulunya dikenali sebagai Pusat Islam) pimpinan Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir, telah melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Namun, pihak yang mula-mula memanggil pemimpin Al-Arqam pada tahun 1979 bukanlah Pengarah Pusat Islam (JAKIM) atau para pegawai atasannya, tetapi adalah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun), merangkap Menteri Dalam Negeri. Setelah bermuzakarah dengan pemimpinnya, Asaari Mohamad, antara perkara pertama yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pusat adalah mengharamkan buku “Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam” pada tahun 1986. Ahli Jawatankuasa Syariah memperakui dan mengesahkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Hal Ehwal Islam Malaysia dalam Muzakarah ke-20 di Kuching, Sarawak pada 2 April 1988 mengenai buku tersebut, iaitu dengan mengharamkannya, sekaligus menjawab tindakan oleh Ustaz Asaari Mohamad kerana ianya mengandungi ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam dan amat mengelirukan masyarakat Islam.

Dalam satu pengubahsuaian terhadap fatwa yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang pada 18 haribulan Ogos 1988 yang dibuat oleh Mufti Pahang atas kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, menurut subseksyen 38 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 adalah disiarkan menurut subseksyen 36 (2) Enakmen itu bahawa buku yang bertajuk ‘Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan’ yang ditulis oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad dan isi kandungannya; dan ‘Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi’ yang ditulis oleh Mohamad Taha As Suhaimi dan juga yang ditulis oleh pihak-pihak lain dalam semua bahawa dan isi kandungannya adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan. Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengenai pengharaman Darul Arqam pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik. Sekali lagi, pada 12 September 2006, Muzakarah kali ke-75, Majlis fatwa Kebangsaan telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam walaupun dinamakan semula sebagai Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd atas alasan bercanggah dengan akidah umat Islam di Malaysia.


Begitu juga di Indonesia. Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat juga mengeluarkan fatwa tentang kesesatan kelompok ini pada tanggal 13 Ogos 1994. Keputusan MUI tersebut adalah selari dengan keputusan Majlis Ulama Indonesia Daerah Istimewa Acheh, Majlis Ulama Indonesia Tingkat I Sumatera Barat, Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I Sumatera Selatan, Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I Riau, dan Keputusan Rapat Komisi Fatwa Majlis Ulama Indonesia, serta kesepakatan silaturrahmi nasional Majlis Ulama Indonesia dan Majlis Ulama Indonesia Daerah Tingkat I, tanggal 16 Julai 1994 di Pekanbaru, yang pada intinya menyatakan bahawa ajaran Darul Arqam adalah ajaran yang menyimpang daripada Aqidah Islamiyah. MUI juga mendukung sepenuhnya Keputusan Jaksa dalam mengharamkan buku berjudul “Presiden Soeharto Ikut Jadual ALLAH”, yang dikarang oleh Ustaz Asaari, disusun oleh Khatijam Aam dan diterbitkan oleh Penerbitan Al-Arqam Indonesia (PAI).

Bersambung

Sumber:
http://chedinsphere.blogspot.com/2011/05/darul-arqam-sejarah-suka-duka-bahagian.html

 Terima Kasih.

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes