Al-Arqam - Sesat lagi menyesatkan Part 8 [Bahagian terakhir]



Daripada keputusan Majlis Fatwa inilah, pihak Kerajaan Pusat pada 3 September 1994 telah membuat tangkapan terhadap Ustaz Asaari Muhammad dan para pengikutnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ustaz Asaari dan beberapa orang pemimpin kanan Darul Arqam juga telah membuat ‘pengakuan terbuka’ mengenai penyelewengan Al-Arqam dan menyatakan ‘insaf’. Peristiwa bersejarah ini berlangsung di Masjid Negara pada 1994 dan disiarkan di kaca televisyen. Selepas Darul Arqam diharamkan, para pemimpin dan ahlinya telah menjalani Kursus Pemurnian Aqidah. Namun, tidak semua pemimpin dan ahlinya berhenti daripada menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhammadiah dan gerakan Al-Arqam. Kini, kumpulan Al-Arqam tidak lagi wujud kerana telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994. Kendati pun, yang wujud ialah Kumpulan / Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (kemudiannya dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd). Ustaz Asaari pernah dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan atas dakwaan cuba mengembangkan semula Jemaah Darul Arqam atas nama syarikat Rufaqa’ Corporation. Beliau dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

Isu Darul Arqam dan Aurad Muhammadiah kembali meledak dalam kalangan masyarakat Malaysia apabila kemunculan satu klip video dalam bentuk VCD bertajuk “Mengenal Mursyid” iaitu sebuah ceramah yang disampaikan oleh orang kanan Rufaqa, Abu Zaharin Taharim. Bukti kedua tentang usaha menghidupkan Al-Arqam menerusi Rufaqa’ Corporation (kini dikenali sebagai Global Ikhwan) boleh dilihat melalui buku penulisan isteri Ustaz Asaari, Khatijah Aam atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah. 


Buku bertajuk: ‘Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya’ itu lebih sarat-padat dengan usaha menghidupkan semula Al-Arqam. Ayat pertama di dalam satu tajuk khusus ‘Aurad Muhammadiah’ secara terang-terangan menegaskan bahawa Asaari tidak dapat dipisahkan dengan Aurad Muhammadiah.Akhbar Harian Metro edisi 7 Disember 2006 telah menelanjangi pembohongan itu secara jelas. Adalah aneh, pengakuan Khadijah Aam yang begitu tegas, keras dan lantang dalam bukunya tiba-tiba bertukar lembik, lesu dan tidak bermaya apabila Asaari mengakui yang dia dan keluarganya (termasuk Khatijah Aam) tidak mengamalkan Aurad Muhammadiah. 


Pengasas Darul Arqam, Ustaz Asaari Mohamad meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah diadakan di Ipoh. Setelah kematian Ustaz Asaari Mohamad, terdapat usaha daripada pihak tertentu yang didakwa masih meneruskan agenda kesesatan dengan mengadakan persembahan berbentuk pentomin untuk menguatkan akidah pengikutnya bahawa Abuya tidak mati tetapi cuma ghaib sebentar dan akan kembali semula dengan jasad asal dalam waktu terdekat. Namun, perkara ini dinafikan oleh anak sulung Ustaz Asaari.

Semoga Menjadi teladan Kepada semua, tetapi apa jua Keadaan, apa yang harus kita pegang adalah Al-Quran dan Hadis.. Wassalam...

Sumber:
http://chedinsphere.blogspot.com/2011/05/darul-arqam-sejarah-suka-duka-bahagian.html

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes