Kes Berprofil Tinggi Mona Fendi Part 24


TARIKH : 9 FEBRUARI 1995

TEMPAT : MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH

TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN DAN MAZNAH ISMAIL ATAU MONA FANDEY.

HAKIM : DATUK MOKHTAR SIDIN

TEPAT jam 2.31 petang, tujuh juri membuat keputusan sebulat suara bahawa ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes bekas Adun Batu Talam bersalah menyebabkan kematian Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, UluDong, Raub Julai 1993. Juraimi Husin (tertuduh pertama), Mohd Affandi Abdul Rahman (kedua) dan Maznah Ismail atau Mona Fandey (ketiga), dijatuhi hukuman mati mandatori. Reaksi tertuduh ketika keputusan penghakiman dibacakan. Tiada tangisan, tapi senyuman diberikan oleh pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey dan Mohd Affandi Abdul Rahman ketika ketua juri memberi keputusan 7-0, bahawa mereka dan Juraimi Husin bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris. Juraimi pula terdiam sambil menahan sebak ketika ketua juri menyampaikan keputusan sebulat suara itu kepada Hakim Datuk Mokhtar Sidin. Mona dan Affandi yang duduk bersebelahan di kandang tertuduh sempat berbual dan bergurau sebelum keputusan itu dibuat. Selepas keputusan dibuat, Mona masih mampu tersenyum dan menjelirkan lidahnya, sambil tergelak kecil memandang ke arah Affandi yang kelihatan tenang.


"I am very happy (saya gembira)," katanya dalam kandang tertuduh ketika di tanya mengenai keputusan itu sejurus hakim membacakan hukuman terhadapnya. Affandi pula berkata: "Ini keputusan mahkamah, bukan keputusan Tuhan." Affandi sempat mengucup dahi Mona sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh. Hakim ketika membacakan hukuman itu berkata: "Berikut adalah hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu satu hukuman mandatori. Saya tiada pilihan untuk menjatuhkan hukuman itu seperti berikut.

"Hukuman mahkamah terhadap kamu bertiga ialah kamu akan dibawa dari mahkamah ini ke penjara yang sah dan kamu akan dibawa ke suatu tempat di mana hukuman mati, iaitu gantung akan dijalankan."

Affandi, Mona dan Juraimi didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam itu dan dijatuhkan hukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Ketiga-tiga mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu. Hakim berkata, mereka berhak merayu secara automatik ke Mahkamah Rayuan, walaupun Mona dan Affandi tidak membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh ketika itu. Peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal yang membuat rayuan bagi pihak Juraimi selepas Mokhtar membuat keputusannya, berkata Juraimi yang berusia 23 tahun ketika melakukan pembunuhan itu tidak mendapat pendidikan tinggi, setakat darjah tiga. Katanya, Juraimi anak kedua daripada enam beradik juga tidak mempunyai pekerjaan.

"Dia juga seorang yang jujur dan taat kepada ibu bapa serta tidak pernah melakukan kesalahan jenayah sebelum ini. Saya merayu kepada mahkamah untuk menimbang nasibnya dalam kesalahan jenayah pertamanya," katanya. Juraimi pula berkata: "Terpulang kepada jasa baik mahkamah." Peguambela Mona dan Affandi pula berkata, dia diarahkan oleh Mona dan Affandi untuk membawa keputusan itu ke Mahkamah Rayuan. Affandi dan Mona berkata, mereka menerima keputusan mahkamah. Pendakwa kes bunuh Datuk Mazlan Idris berjaya membuktikan Juraimi, Affandi dan Mona atau Mona Fandey mempunyai niat untuk membunuh bekas Adun Batu Talam itu.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang menggulung kes perbicaraan itu berkata, tiga unsur yang menunjukkan pasangan bomoh itu dan pembantu mereka mempunyai niat untuk membunuh Datuk Mazlan berjaya dikemukakan oleh pendakwa melalui keterangan saksi. Katanya, pendakwa membuktikan bahawa unsur pertama iaitu Mazlan mati di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 dan 12 tengah malam 8 Julai 1993 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong Raub. Unsur kedua kematian Mazlan adalah disebabkan perbuatan ketiga tertuduh atas niat bersama, sementara unsur ketiga adalah semua tertuduh dengan niat serta pengetahuan menyebabkan kematian Mazlan turut dibuktikan oleh pendakwa, katanya. Menurutnya, ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat Mohd Mazlan seperti yang disahkan oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Abdul Rahman Yusof turut membuktikan Mohd Mazlan dibunuh dengan niat. Sebaliknya, katanya, pembela gagal mengemukakan keterangan sokongan kepada fakta yang ditimbulkan dalam perbicaraan bagi mewujudkan keraguan munasabah. Menurutnya, Affandi berkata tongkat sakti dan songkok ajaib berharga RM2.5 juta mempunyai hikmat tetapi gagal membuktikannya walaupun memanggil dua saksi untuk memberi keterangan sewaktu pembelaan.

Mokhtar berkata, bukti juga tidak dikemukakan bagi menunjukkan bahawa pasangan bomoh itu memiliki RM900,000 seperti didakwa oleh pembela serta hidup dalam suasana mewah. Sebaliknya, katanya, Mona dan Affandi berbelanja besar lebih RM200,000 selepas kematian Mohd Mazlan sedangkan pendakwa berjaya membuktikan  Mazlan mengeluarkan RM250,000 pada siang 2 Julai 1993. Sedangkan, katanya, baki dalam akaun simpanan Mona dan Affandi tidak banyak iaitu sekitar RM2,000. Katanya, kebanyakan not RM200,000 yang dibelanjakan oleh pasangan bomoh itu adalah not RM1,000 sama seperti not yang diterima oleh Mazlan dari bank.

Bersambung... 


* hasil nukilan di atas telah diedit dengan selera sendiri (copy > edit > paste) dari http://www.cakap.net, hasil tulisan WebZone-_-Attack. Harap halal la.. lalalala.. tq~


Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes