Kes Berprofil Tinggi : Pembunuhan Norritta Samsuddin Part 1


KUALA LUMPUR 5 Dis. – Seorang peragawati fesyen sambilan, Norritta Samsudin, 22, ditemui mati dalam keadaan bogel dengan leher dijerut sarung bantal manakala tangan serta kaki diikat dengan wayar seterika di rumah sewanya di Kondominium Puncak Prima, Sri Hartamas di sini awal pagi ini. Mayat eksekutif pengurusan projek di sebuah syarikat pembinaan di Petaling Jaya, Selangor itu ditemui terbaring di atas katil biliknya oleh dua rakan serumah kira-kira pukul 4 pagi ini. Kedua-dua mereka yang baru pulang hairan melihat keadaan rumah yang gelap dan terkejut apabila mendapati Norritta berkeadaan bogel terlentang di atas katil dengan kepala ditutupi selimut manakala tangan dan kakinya diikat ke belakang sebaik sahaja membuka pintu biliknya.

Polis mengesyaki gadis itu dirogol sebelum dibunuh dan perbuatan kejam itu dipercayai dilakukan oleh individu yang dikenalinya kerana cemburu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Kamaruddin Mat Desa berkata, polis bergegas ke kondominium berkenaan setelah dimaklumkan mengenai pembunuhan tersebut. Siasatan awal mendapati Norritta mungkin mati disebabkan sesak nafas kerana selain dijerut mulut mangsa juga disumbat dengan sehelai kain.

“Dia dipercayai dibunuh di antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4 pagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, polis yang memeriksa tempat kejadian mendapati tiada kesan rumah mangsa dipecah masuk kerana tidak ada barang-barang berharga di rumahnya dilaporkan hilang kecuali telefon bimbit miliknya. Katanya, polis akan menyiasat kes pembunuhan itu dari semua sudut dan masih menunggu hasil laporan bedah siasat serta ujian DNA. Sehubungan itu, katanya, kerjasama orang ramai memberi maklumat amat diperlukan untuk mengesan seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan.

“Lelaki yang dicari mempunyai ketinggian kira-kira 171 sentimeter, berkulit gelap dan berambut panjang,” jelasnya.

Suasana sedih menyelubungi bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila ramai sahabat handai dan rakan setugas Norritta menziarahi mayatnya selepas selesai dibedah siasat petang ini. Beberapa orang rakan Norritta yang enggan dikenali ketika ditemui menyifatkan mangsa seorang yang periang dan sering mendapat perhatian kerana kecantikannya. Norritta, bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), sering dijemput untuk menjadi peragawati sambilan dalam beberapa pertunjukan fesyen di ibu negara. Seorang pegawai dari Syarikat Transpro (M) Sdn. Bhd. iaitu majikan mangsa berkata, Norritta sebelum ini mengadu tidak beberapa sihat dan telah mengambil cuti sakit sejak dua hari lepas.

“Kami bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan yang beliau dijumpai mati di rumahnya pagi ini,” katanya lagi.

Mayat Norritta kemudian dibawa ke kampung halamannya di Kampung Surau, Utan Aji, Perlis, untuk dikebumikan

Sumber:
Utusan 6 Disember 2003

BERSAMBUNG......

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes