Kes Berprofil Tinggi : Pembunuhan Norritta Samsuddin Part 2



KUALA LUMPUR 11 Mei - Seorang saksi menafikan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia sengaja mereka cerita melihat tertuduh, Hanif Basree Abdul Rahman bersama Noritta Samsudin, setengah jam sebelum peragawati sambilan itu ditemui mati bagi mengelakkan dirinya daripada didakwa sebagai pembunuh. Suzaki Supok, 24, pengawal keselamatan di Kondominium Puncak Prima Galleria berkata, dia tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam V. Sithambaram bahawa dia cuba `mencari jalan keluar' dengan menimbulkan perkara itu. Suzaki juga menafikan bahawa dia ditahan reman selama tiga hari mulai 18 Disember tahun lalu kerana merupakan salah seorang daripada suspek kes pembunuhan tersebut.Saksi pendakwa ke-10 itu memberitahu bahawa apa yang dilihat pada pukul 1 pagi, 5 Disember tahun lalu adalah benar dan bukan dibantu oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Shahrul Lalli Masduki untuk menimbulkannya.

Bagaimanapun, katanya, dia mengakui tidak memberitahu perkara itu kepada pihak polis sejurus selepas mayat Noritta ditemui kerana fikirannya bercelaru. Menurutnya, dia hanya mengingati perkara itu sehari sebelum dia ditahan reman walaupun dia telah memberi keterangan kepada pihak polis pada hari kejadian. Suzaki berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Sithambaram pada hari keempat perbicaraan terhadap Hanif Basree, jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam yang didakwa membunuh Noritta. Semalam saksi itu menyatakan bahawa dia nampak Hanif Basree dan Noritta lalu di hadapan pondok pengawal untuk bertemu dengan rakan mereka di hadapan kondominium itu pada pukul 1 pagi, 5 Disember tahun lalu, iaitu kira-kira setengah jam sebelum Allahyarham dipercayai mati. Hanif Basree, 36, didakwa membunuh Noritta, 22, di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini. Jurutera itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Selain Sithambaram, dia diwakili oleh barisan peguam Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin, Roszianayati Ahmad dan Nahra Dollah. Menjelaskan lebih lanjut, Suzaki berkata, selepas teringat apa yang dilihatnya pada pukul 1 pagi, 5 Disember tahun lalu dia terus memberitahu ketuanya, A. Sivasanggaran yang kemudian menelefon Inspektor V. Vijayan. ``Kira-kira 10 atau 15 minit kemudian, van polis datang ke kondominium itu dan membawa saya ke balai polis,'' katanya. Dalam keteranganya, Suzaki berkata, pihak polis tidak ada mendesaknya untuk mengingatkan kembali apa yang berlaku pada 5 Disember apabila dia cuma mengingati perkara-perkara yang berlaku pada 4 Disember tahun lalu. Saksi tersebut bagaimanapun menyatakan ``tidak nampak'' apabila peguam itu menyatakan bahawa dia sebenarnya tidak melihat tertuduh pada pagi hari kejadian itu tetapi berubah fikiran selepas didesak berulang kali oleh pihak polis. Selain itu, pengawal keselamatan itu menafikan bahawa semasa ditahan, Shahrul Lalli atau lain-lain anggota polis telah memberitahunya yang pihak polis ada menjumpai kesan air mani Hanif Basree di kemaluan Noritta.

Menjawab satu soalan peguam itu, Suzaki berkata, memang benar dia ada melihat Noritta dan tertuduh sampai di kondominium itu kira-kira pukul 2 pagi pada 4 Disember tahun lalu sebelum keluar kira-kira pukul 3.30 pagi dengan menaiki keretanya sendiri. Namun, dia tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam itu bahawa dia terkeliru atau hanya melihat tertuduh pada pukul 3.30 pagi, 4 Disember tahun lalu dan bukannya sehari selepas itu. Semasa pemeriksaan semula oleh Augustin, Suzaki menyatakan bahawa tiada apa-apa yang hendak dirahsiakan olehnya kepada mahkamah. Selain itu, menurutnya, tiada sesiapa pun memaksanya memberi keterangan bahawa dia melihat tertuduh dan Noritta pada 5 Disember.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong bersambung esok.

Sumber :
ARKIB Utusan: 22/05/2004

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes