Kes Berprofil Tinggi : Pembunuhan Norritta Samsuddin Part 3

V. Sithambaram

KUALA LUMPUR 21 Mei - Seorang pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa peragawati sambilan, Allahyarham Noritta Samsudin mungkin melakukan perbuatan seks oral sebelum ditemui mati di bilik tidurnya. Dr. Ab. Halim Mansar berkata demikian ketika disoal oleh peguam V. Sithambaram bahawa sekiranya Noritta melakukan seks oral dengan pasangannya sebelum menemui ajal, adakah ia dapat dikesan melalui contoh kikisan yang diambil daripada mulut mangsa. 

Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara itu bagaimanapun menyatakan bahawa tiada contoh kikisan daripada mulut gadis itu diambil untuk siasatan. Dalam keterangannya, beliau juga bersetuju dengan saranan peguam itu yang menyatakan bahawa dalam jenayah seksual, pasangan lelaki yang cemburu selalunya akan melakukan perbuatan seperti menggigit puting buah dada dan merosakkan bahagian kemaluan pasangan wanitanya. Ditanya sama ada dalam kes tersebut dia ada menemui bukti yang menunjukkan perkara itu berlaku, jawabnya, tiada. Saksi pendakwa ke-13 itu berkata demikian semasa menyambung keterangan dalam pemeriksaan balas pada hari ke-11 perbicaraan terhadap jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang menghadapi tuduhan membunuh Noritta. Hanif Basree, 36, didakwa membunuh eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta, 22, antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini. Dia dibicara di hadapan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Selain Sithambaram, jurutera itu turut diwakili oleh peguam Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin, Roszianayati Ahmad dan Nahra Dollah.

Pada pemeriksaan utama sebelum ini, Ab. Halim menyatakan bahawa Noritta menemui ajal akibat kelemasan, kemungkinan besar selepas melakukan hubungan seks yang melibatkan perbuatan secara kasar atau paksaan. Menyambung keterangannya, Ab. Halim berkata, dia bersetuju dengan Sithambaram bahawa kehadiran air mani semata-mata tidak dapat menentukan jumlah sebenar pasangan yang melakukan hubungan seks dengan Noritta berdasarkan tiga alasan. Alasan-alasan tersebut ialah si lelaki menggunakan kondom atau menjalani vasektomi (pemotongan saluran air mani) atau mencabut zakarnya sebelum ejakulasi. Disoal mengenai kelemasan seksual, pakar forensik itu bersetuju yang ia bukanlah satu bentuk kematian yang diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Dalam kes tersebut, Ab. Halim sekali lagi menafikan bahawa Noritta mati akibat kelemasan seksual. Beliau juga tidak bersetuju bahawa kematian Noritta adalah disebabkan oleh kesilapan yang berlaku dalam percubaan pasangan terbabit untuk meningkatkan puncak kenikmatan dengan cara melakukan kelemasan seksual. Menjawab soalan lain, beliau menyatakan bahawa sekiranya gadis itu menghidap penyakit asma, dia boleh menemui ajal akibat lemas jika udara dihalang daripada masuk ke dalam anggota badannya. Sewaktu pemeriksaan semula oleh Augustin, pakar forensik itu menjelaskan beliau tidak bersetuju bahawa Noritta mati akibat kelemasan seksual kerana bedah siasat yang dijalankan menunjukkan terdapat luka teruk pada lidah mangsa.

``Kalau dalam kelemasan seksual, ia adalah satu proses sukarela. Lidah adalah satu benda yang boleh bergerak dan statik, jadi kalau dalam proses sukarela ini, apabila mangsa terasa sakit, dia dengan mudah mengerakkan lidah atau kepalanya. Tapi dalam kes ini, adalah konsisten dengan satu paksaan yang kuat. Saya anggap ini adalah satu paksaan. Lidah ini (Noritta) saya potong Yang Arif, memang terdapat kecederaan yang berat,'' katanya. Beliau menjelaskan kecederaan yang berat itu bermaksud hematoma (pengumpulan darah dalam tisu) mangsa yang konsisten dengan benda yang berat dan epiglotis (di pangkal lidah) juga cedera. Menjawab soalan lain, saksi pendakwa itu menyatakan beliau menolak andaian mangsa mati akibat jerutan, cekikan ataupun sumbatan pada mulut kerana bahan-bahan untuk melakukan perbuatan itu tidak ada pada mangsa ketika bedah siasat dilakukan. Selepas Augustin berkata yang beliau tidak mempunyai soalan lagi, Hakim Abdull Hamid bertanya kepada saksi itu apakah bahan yang dimaksudkannya.


Ab. Halim: ``Kain (tuala muka) misalnya, bila pemeriksaan dilakukan, bahan itu tidak ada. Bahan-bahan yang digunakan untuk cekikan juga tidak ada.''

Abdull Hamid: ``Bagaimana pula dengan tuala muka?''

Ab. Halim: ``Bila bahan-bahan ini (tuala muka, sarung bantal dan sarung bantal peluk) ditunjukkan pada saya, ia akan bertindih sebab ia boleh jadi jerutan atau cekikan. (Tetapi) Bahan-bahan ini tidak ada pada mulut mangsa (masa bedah siasat).''

Augustin kemudian menyoal semula Ab. Halim, dan saksi itu memberitahu bahan seperti tuala muka yang dikatakan disumbatkan ke dalam mulut Noritta memang boleh menyebabkan kematian mangsa. Di samping itu, beliau menyatakan bahawa kecederaan teruk pada pangkal lidah dan epiglotis mangsa boleh diakibatkan oleh tuala muka itu yang dimasukkan ke dalam mulut mangsa secara paksaan dan menyebabkan kematiannya.

Bersambung..........

Sumber:
ARKIB UTUSAN ONLINE  27/05/2004

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes