Kes Berprofil Tinggi : Pembunuhan Norritta Samsuddin Part 4



KUALA LUMPUR 26 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sehelai tuala muka yang disumbat ke dalam mulut Noritta Samsudin mengandungi campuran profil Deoxyrido Nucleic Acid (DNA) tertuduh Hanif Basree Abdul Rahman dan seorang wanita yang tidak dikenali, selain daripada profil peragawati sambilan itu. Ahli kimia, Lim Kong Boon berkata, sejumlah 70 hingga 75 peratus kandungan profil DNA pada tuala itu adalah milik Noritta, 20 hingga 25 peratus milik Hanif Basree manakala baki lima peratus kepunyaan seorang wanita yang tidak dikenal pasti.

Dua penyumbang profil-profil DNA itu, katanya, dikesan setelah didapati sepadan dengan profil DNA daripada contoh kesan darah dan contoh darah Hanif Basree serta Noritta. ``Penyumbang terkecil dalam campuran profil DNA pada cebisan tuala muka itu pula adalah konsisten dengan (profil DNA) seorang perempuan yang tidak dikenal pasti. Kebarangkalian secara rawak bahawa profil DNA seorang daripada penyumbang (campuran profil DNA) itu adalah sepadan dengan individu-individu lain, adalah dianggarkan satu nisbah 900,000 orang (1:900,000) berdasarkan pangkalan data orang Melayu di Malaysia,'' katanya. Kong Boon berkata demikian ketika menyambung keterangan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin pada hari ke-14 perbicaraan terhadap jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang menghadapi tuduhan membunuh Noritta. Hanif Basree, 36, didakwa membunuh eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta, 22, antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Jurutera itu diwakili oleh V. Sithambaram, Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala Augustin dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Roszianayati Ahmad dan Nahra Dollah. Dalam keterangannya, Kong Boon turut memberitahu bahawa analisis DNA yang dijalankan mendapati profil DNA Hanif Basree telah ditemui pada kesan air mani pada beberapa barang bukti. Barang-barang tersebut ialah sarung bantal peluk, lapan keping kertas tisu, cadar, comforter dan tiga keping keratan tilam. Jelas beliau, rumusan itu dibuat setelah mendapati profil DNA pada kesan air mani pada barang-barang bukti itu adalah sepadan dengan profil DNA tertuduh. Saksi itu memberitahu, kebarangkalian bahawa profil DNA tertuduh adalah sepadan dengan individu lain adalah dalam 1 nisbah 6.2 quantilion (6.2 diikuti dengan 18 angka kosong di belakangnya) mengikut pangkalan data orang Melayu di negara ini. Analisis DNA juga, kata saksi pendakwa ke-14 itu, mendapati kesan air mani pada barang-barang berkenaan kecuali sekeping keratan tilam mempunyai campuran profil DNA Hanif Basree dan Noritta. "Profil DNA pada barang-barang itu adalah campuran profil DNA seorang lelaki dan seorang perempuan. Penyumbang campuran profil DNA itu adalah sepadan dengan sumber (profil DNA) daripada contoh kesan darah Hanif Basree serta darah Noritta,'' jelasnya.

Ketika ditanya oleh Augustin apakah maksud beliau, Kong Boon menjawab: "Oleh kerana sperma dikesan pada profil DNA lelaki dan perempuan pada barang-barang berkenaan, ia adalah konsisten bahawa aktiviti seksual telah berlaku seperti hubungan seks,'' katanya. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Hamid Embong bersambung esok.

Sumber:
ARKIB UTUSAN ONLINE  02/06/2004

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes