Kes Berprofil Tinggi : Pembunuhan Norritta Samsuddin Part 10 [Part Terakhir]


Hanif Basree Abdul Rahman (kiri) memeluk ibunya, Che Norkiah Che Mahani, 68, yang terharu selepas Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam mengekalkan keputusan tidak bersalah atas tuduhan membunuh Noritta Samsuddin.


PUTRAJAYA 28 Mac – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hanif Basree Abdul Rahman, 40, daripada tuduhan membunuh eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta Samsudin, 22, lima tahun lalu. Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengetuai panel lima hakim membuat keputusan sebulat suara semasa menolak rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum itu turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Hanif Basree.


Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Ariffin Zakaria, Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman, Datuk Hashim Yusof dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Hakim Ariffin bagaimanapun tidak hadir hari ini. Hakim Zaki yang membacakan penghakimannya menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah betul dalam meneliti keterangan mahupun semasa menggunakan prinsip undang-undang sewaktu menilai keterangan mengikut keadaan (circumstantial). ‘‘Terutamanya seperti dalam kes ini apabila terdapat kemungkinan munasabah tentang kewujudan orang lain yang boleh melakukan kesalahan itu,’’ kata beliau. Sehubungan itu, katanya, pendakwaan gagal melaksanakan tugas dengan sempurna apatah lagi mereka tidak dapat menyangkal dua keterangan utama iaitu tentang kewujudan lelaki berbau busuk di apartmen itu dan ‘lelaki tidak dikenali 1’ (Unknown Male 1) yang asid deoksiribonukleik (DNA) ditemui pada jasad mangsa. Oleh itu, menurut beliau, hakim bicara adalah betul semasa memutuskan untuk tidak memanggil tertuduh di akhir kes pendakwaan dan membebaskan Hanif Basree di peringkat tersebut. Hanif Basree yang memakai suit hitam lengkap bertali leher yang duduk di kandang pesalah tenang dan terharu apabila mendengar keputusan mahkamah.

Sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang, Hanif Basree dilihat memeluk peguam utamanya, Datuk V. Sithambaram dan ahli-ahli keluarganya. Dia yang pada awalnya cuba menahan sebak akhirnya menitiskan air mata semasa memeluk erat ibunya, Che Norkiah Che Mahani, 68. Dengan keputusan mahkamah tertinggi negara ini, rayuan pendakwaan turut berakhir kerana keputusan tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dicabar lagi. Pihak pendakwaan sebelum ini telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Rayuan itu bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 29 Januari 2005. Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor dan Roszianayati Ahmad hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdull Hamid Embong (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 1 Julai 2004 melepas dan membebaskan Hanif Basree daripada tuduhan membunuh Noritta tanpa dipanggil membela diri setelah pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Dalam perbicaraan yang berlangsung selama 29 hari mulai 6 Mei 2004 dan membabitkan 34 orang saksi, Hanif Basree didakwa membunuh Noritta di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember 2003 di alamat Nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di ibu negara. Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Dalam penghakiman bertulis setebal 21 muka surat yang dibaca hampir 45 minit, Hakim Zaki berkata, dalam kes ini, DNA ‘lelaki tidak dikenali 1’ boleh digunakan bagi menentukan siapakah lelaki itu tetapi malangnya identitinya gagal diketahui. ‘‘Barangkali pada masa hadapan, akan ada profil DNA yang didaftarkan seperti mana rekod cap jari pada masa kini, yang dapat membantu polis mengesan pemilik DNA terbabit,’’ ujarnya. Menurut beliau, sungguhpun terdapat DNA tertuduh yang ditemui pada badan mangsa sehingga boleh menimbulkan syak wasangka tetapi ia tidak cukup untuk merumuskan bahawa dia yang menyebabkan kematian mangsa. Beliau juga tidak bersetuju dengan hujah pendakwa berhubung penemuan kertas tisu basah mengandungi kesan air mani tertuduh dalam bilik mangsa yang dikatakan membuktikan dia menggunakannya antara satu hingga satu setengah jam sebelum tisu itu ditemui.

Sebaliknya, beliau bersetuju dengan hujah pihak pembela yang menyatakan gumpalan tisu itu masih basah kerana ia ditemui di bawah tindanan beberapa helai pakaian. ‘‘Bagi saya tidak perlu menjadi seorang pakar untuk mengetahui perbezaan kesan kertas tisu mengandungi air mani yang terdedah adalah lebih cepat kering berbanding jika ia diletak di bawah timbunan pakaian,’’ ujarnya. Mengenai bau busuk yang dihujahkan oleh pihak pendakwa sebagai bau akibat perlakuan seks tertuduh dengan mangsa dan tindakannya mengikat kaki dan tangan mangsa, hakim itu berkata, beliau tidak menerima hujah itu kerana tiada bukti yang menyokongnya. Sebaliknya, jelas beliau, teman serumah mangsa, Nor Azora Abdul Hamid sendiri mengakui bahawa tertuduh tidak mempunyai bau badan seperti itu dan keterangan ini juga tidak dicabar oleh pendakwaan. ‘‘Daripada keterangan yang diterima setakat ini, terdapat seorang yang mempunyai bau badan yang busuk dan seorang lagi yang dilihat berjalan keluar sambil memakai baju (mengikut keterangan Nor Azora). Tidak ada bukti menunjukkan ia adalah orang yang sama,’’ katanya. Sementara itu, Hanif Basree ketika ditemui pemberita di luar mahkamah melahirkan rasa kesyukuran terhadap keputusan yang memihak kepadanya. ‘‘Saya bersyukur kepada Allah kerana penantian selama lima tahun sekarang ini berakhir. Sebelum ini banyak perancangan yang saya hendak buat tertangguh kerana tidak tahu apa keputusan (akhir) yang akan terjadi,’’ katanya.


Bapa kepada tiga orang anak berusia antara empat dan 13 tahun itu juga memberitahu, selepas ini beliau akan menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri dan anak-anak. Isterinya, Noraidah Mohamed dan anak- anak mereka bagaimanapun tidak hadir di mahkamah. Che Norkiah pula berkata, beliau merasa terkilan kerana keputusan yang menggembirakan mereka sekeluarga tidak dapat dikongsi bersama suaminya, Abdul Rahman Basir yang meninggal dunia pada 26 Februari tahun lalu kerana sakit tua. ‘‘Alhamdulillah akhirnya apa yang benar itu benar jua. Itu sahaja yang mak cik nak cakap tapi mak cik terkilan bapa (Hanif Basree) tidak ada. Pada hari-hari yang gembira ini dia tak tahu,’’ katanya.

Sumber:
Arkib online Utusan

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes