Kes Berprofil Tinggi : Pembunuhan Norritta Samsuddin Part 6



KUALA LUMPUR 3 Jun - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa tiada kesan cap jari ditemui di dalam bilik tidur peragawati sambilan, Allahyarham Noritta Samsudin di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, di sini. Pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Asisten Supritendan Sharul Lalli Masduki berkata, kesan cap jari juga tidak dikesan pada kipas angin berdiri dan seterika yang diambil dari bilik Noritta. Berikutan ketiadaan penemuan cap jari, beliau menyatakan, kedua-dua barang tersebut tidak dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan.

Beliau juga memberitahu, barang-barang seperti lampu tidur, wayar, beg plastik dan bakul sampah dari bilik gadis itu tidak dihantar ke jabatan berkenaan kerana berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Sharul Lalli dalam keterangannya sebelum itu memberitahu bahawa beliau sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 6 pagi dan berada di situ sehingga pukul 8.15 pagi. Setibanya di unit kondominium itu, katanya, beliau terus menuju ke bilik gadis tersebut lalu membuka pintunya dan mendapati tiada sesiapa di dalamnya.
Pemerhatiannya mendapati sekujur tubuh wanita yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Noritta dilihat berselimut hingga paras leher, berada dalam keadaan terlentang di atas tilam tanpa katil. "Hanya bahagian muka kelihatan, kepala mangsa menghadap tingkap bilik dan mangsa terbaring hampir ke dinding,'' katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Roszianayati Ahmad pada perbicaraan terhadap jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang didakwa membunuh Noritta. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong masuk hari ke-19 hari ini.

Hanif Basree, 36, didakwa membunuh Noritta, 22, antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember 2003 di No. D-7-1 di Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas. Dia dibicara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Sharul Lalli sebagai saksi pendakwa ke-29 seterusnya memberitahu, beliau kemudiannya memegang muka mangsa dan mendapatinya telah meninggal dunia. Ketika itu, katanya, bilik itu dalam keadaan teratur dan hanya lampu tidur yang terjatuh ke bawah dan terdapat keratan wayar di hujung tilam. Selepas menarik kain selimut, beliau mendapati dua bantal, satu telah dilucutkan sarungnya terletak di bawah kepala mangsa dan satu lagi masih bersarung terletak bersebelahan bantal pertama. Mangsa pula, katanya, terlentang dalam keadaan berbogel dan kakinya terikat. Di atas bantal yang bersarung, jelas beliau, terdapat segumpal tuala kecil sebesar separuh daripada genggaman penumbuk.

'"Di bawah badan mangsa terdapat dua sarung bantal, satu sarung bantal biasa dan satu lagi sarung bantal panjang. Di bawah siku kanan mangsa pula terdapat wayar seterika dan sebatang tongkat rotan (milik pengawal keselamatan yang tertinggal di situ) tersandar di dinding,'' katanya. Sewaktu ditemui, kata Sharul Lalli, mangsa yang memakai subang, rantai leher dan cincin warna perak dilihat tidak mempunyai sebarang kesan luka. Tangan mangsa terletak di bawah badan dan di bawah punggungnya pula terdapat sebuah bantal panjang warna putih yang telah dilucutkan sarungnya. Dua keratan tali coli dan satu keratan dipercayai baju tidur juga terdapat di atas cadar,'' ujarnya. Ditanya apa bahan yang digunakan untuk mengikat kaki Noritta, kata saksi itu, ia diikat dengan wayar dan coli berwarna hitam. "Ikatan wayar dibuat secara lilitan satu persatu pada kaki, dicantum dan disimpul ke belakang. Coli warna hitam pula diikat di atas wayar tadi dan disimpulkan ke belakang,'' katanya.Menurutnya, beliau juga menemui bakul sampah dan kipas angin berdiri yang telah dipotong wayarnya di dalam bilik itu. Di dalam bakul sampah tersebut, katanya, beliau menemui sehelai baju tidur, seluar pendek, coli warna kuning air, segumpal tisu dan satu palam dengan sedikit wayar warna hitam dan beg plastik.Tisu tersebut, katanya, dibasahi oleh cecair dipercayai air mani setelah beliau memegangnya dengan menggunakan sarung tangan.

Mengenai tompokan basah di atas tilam seperti yang ditunjukkan dalam sekeping gambar yang diambil di tempat kejadian, katanya, ia dipercayai kesan air kencing mangsa berdasarkan baunya yang hancing. Dari ruang tamu pula, katanya, beliau menemui sebuah seterika yang telah dipotong wayarnya dan sebuah palam warna putih terselit di bawah sofa manakala tiga bilah pisau ditemui di dapur. "Sambungan wayar seterika itu terdapat di bawah siku kanan mangsa di atas tilam,'' ujarnya. Barang-barang terbabit termasuk kipas angin, seterika dan bakul sampah kemudiannya dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah. Siasatan yang dijalankan, Sharul Lalli mendapati tiada kesan pecah rumah berlaku di unit kondominium itu dan tiada barang-barang mangsa hilang kecuali telefon bimbitnya bernombor 012 2922881. Hasil pemeriksaan yang dibuat di pejabat Maxis mendapati talian telefon itu tidak digunakan langsung selepas hilang. Dalam keterangannya, saksi itu memberitahu bahawa beliau dimaklumkan bahawa Hanif Basree telah ditangkap kira-kira pukul 4 petang, 8 Disember tahun lalu di IPD Brickfields. 

Sumber:
ARKIB UTUSANONLINE 
04/06/2004 

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes