Kes Berprofil Tinggi : Pembunuhan Norritta Samsuddin Part 8



PUTRAJAYA 5 Nov. – Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa Hanif Basree Abdul Rahman, 39, adalah orang terakhir yang melakukan hubungan seks dengan eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta Samsudin, 22, dan menyebabkan kematian wanita tersebut.Beliau berkata, ini dijelaskan melalui keterangan pakar patologi forensik mengenai jumlah cecair hasil ejakulasi tertuduh dan mangsa yang ditemui dalam vagina mangsa.

Menurutnya, keterangan pakar tersebut menunjukkan bahawa mangsa mati semasa dia masih terbaring berdasarkan cecair yang banyak bertakung dalam vagina mangsa dan kematiannya berlaku selepas mengadakan hubungan seks. ‘‘Sudah tentunya keterangan ini tidak memadai untuk membabitkan responden (Hanif Basree) sebagai penyebab kematian mangsa tetapi keterangan itu jelas menunjukkan bahawa mangsa mati sejurus selepas melakukan hubungan seks,’’ tegasnya. Beliau berkata, Hanif Basree sebagai penyumbang terbanyak kepada takungan cecair itu menunjukkan bahawa responden adalah orang terakhir melakukan hubungan seks dengan Noritta sebelum kematiannya.

‘‘Tidak dipertikaikan bahawa Noritta telah melakukan hubungan seks dengan lebih seorang lelaki tetapi keterangan forensik dan saintifik menunjukkan bahawa responden adalah orang terakhir melakukannya,’’ katanya. Chiang Kiat berhujah dalam rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan 29 Januari 2005 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Hanif Basree daripada tuduhan membunuh Noritta. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2004 melepas dan membebaskan Hanif Basree, jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) daripada tuduhan itu tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Hanif Basree didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh Noritta yang juga peragawati sambilan di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember 2003 di Nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di ibu negara. Rayuan di mahkamah tertinggi di negara ini dibuat di hadapan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Datuk Arifin Zakaria yang bersidang bersama Datuk Nik Hashim Abdul Rahman, Datuk Hashim Yusof, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Tan Sri Zaki Azmi.

Chiang Kiat selanjutnya berhujah bahawa penemuan lapan helai tisu basah mengandungi air mani Hanif Basree turut menunjukkan responden terlibat dalam perlakuan seks, walaupun tidak dinafikan bahawa seorang lelaki tidak dikenali turut melakukan seks dengan mangsa sebelum kematiannya. Responden, katanya, yang bertanya kepada pakar forensik, Dr. Mohd. Shah Mahmood sama ada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) boleh menentukan masa kejadian dan tindakannya memotong kuku jari tangan dan mencukur bulu ari-ari sebelum menyerah diri kepada polis adalah usahanya untuk menyembunyi bukti tertentu.

Menurut beliau lagi, Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes itu telah gagal untuk mempertimbangkan keseluruhan keterangan forensik dan saintifik yang menjurus kepada responden sebagai orang terakhir melakukan seks dengan Noritta. ‘‘Dengan mengambil kira rantaian keterangan ini, pihak pendakwaan telah mengemukakan lebih daripada cukup keterangan untuk membolehkan responden dipanggil membela diri dan Mahkamah Tinggi sudah tentunya telah tersalah arah dirinya semasa melepas dan membebaskan responden di akhir kes pendakwaan,’’ katanya. Dengan itu timbalan pendakwa raya itu memohon supaya mahkamah tersebut membenarkan rayuan itu dengan memerintahkan responden dipanggil membela diri. Sementara itu peguam Datuk V. Sithambaram yang mengetuai pembelaan pula berhujah bahawa kewujudan lelaki tidak dikenali yang melakukan hubungan seks dengan mangsa dan kehadiran DNA lelaki itu pada coli dan wayar yang mengikat tangan serta kaki mangsa telah menimbulkan keraguan dalam kes pihak pendakwa. Begitu juga bau badan lelaki misteri yang diberitahu oleh teman serumah Noritta, Nor Azora Abdul Hamid dan Kenneth Michael Yap Teik Huat, katanya, bukanlah bau badan responden serta air mani di dubur mangsa adalah akibat daripada perbuatan liwat lelaki tidak dikenali itu. ‘‘Daripada keterangan-keterangan itu adalah munasabah selain daripada responden, wujudnya DNA lelaki tidak dikenali dan lelaki berkulit hitam yang melarikan diri daripada apartmen mangsa. ‘‘Oleh itu, Mahkamah Tinggi adalah betul semasa membebaskan responden,” katanya sambil memohon rayuan itu ditolak.  Selepas selesai mendengar pembentangan hujah kedua-dua pihak, Hakim Arifin menangguhkan keputusan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sumber:
Arkib Online Utusan

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes