Sedar ada kanser selepas diserang penyamun



1 September 2005 akan kekal dalam ingatan Mohd Royzilee Mustaffa sampai bila-bila. Dia sama sekali tidak boleh lupa kejadian yang merubah hidupnya secara total selepas tarikh itu. “Sewaktu melintasi bawah LRT Masjid Jamek sekitar jam 11 malam, muncul dua lelaki entah dari mana datangnya. Berwajah bengis, mereka meminta beg yang saya sandang.

“Saya berkeras lalu mereka keluarkan sebatang kayu. Lepas itu, saya terus rasa sakit di bahagian kepala. Sedar-sedar saya sudah berada dalam ambulans,” cerita Royzilee. Hasil imbasan CT, doktor memaklumkan terdapat ketulan darah beku di otaknya. Bagaimanapun ketulan itu disifatkan agak aneh yang memerlukan imbasan MRI dilakukan dua jam kemudian. “Keputusannya terdapat tumor sebesar 6 sentimeter yang dijangka aktif sejak saya 16 tahun tapi tak disedari. Kata doktor kalau tidak dikesan pada hari berkenaan, jangka hayat saya mungkin tinggal tujuh bulan saja lagi,” ujar Royzilee.

Dia diberi kata dua: Lakukan pembedahan segera tetapi tanggung risiko untuk lumpuh atau tunggu sahaja hari kematian. Sudah tentu, keputusan bedah jadi pilihan. Bagaimanapun sebelum pembedahan, dia perlu menelan 65 pil setiap hari. Tiba hari pembedahan seminggu kemudian, Royzilee merasakan tubuhnya semakin lama semakin mengecil sebaik sahaja dibius. Namun, tiba-tiba kemudian, dia tersedar semula lalu meronta. Untuk menenangkannya, dia terasa dirinya dipegang erat oleh beberapa tangan yang kuat. Dia kemudian diikat. Apa yang boleh dilakukan hanya menjerit sekuat hati. Ketika itulah, berlakunya satu peristiwa yang paling menakutkan bagi Royzilee.

Dalam keadaan dia terjerit-jerit hingga hampir habis suara, muncul lembaga hitam bermata merah. Ketika itu bagi Royzilee, lebih baik dia mati daripada terus menghadapi kenyataan. Tanpa belas kasihan, Royzilee  terasa tubuhnya diangkat dengan rakus oleh lembaga itu. Dan kemudian... dia dipanggang hidup-hidup! Habis terbakar baju dipakai. Bau hangit daging sendiri menusuk rongga hidung. Perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Takut,
gerun, panik bercampur baur.

Puas dipanggang, Royzilee diletakkan atas batu berbara. Sungguhpun sakit, perasaan lapar turut menusuk perut. Tanpa berfikir panjang serpihan batu berbara dikutip lalu ditelan. Sakit dan panas melecurkan tekak sampai ke usus. Apabila diangkat kepala, terlihat tulisan Iqra’ Bismirob... dalam tulisan Arab, tertera di langit yang kemerahan. Di kiri kanannya terdapat ramai lagi manusia mengalami nasib serupa. Malah ada antara perempuan yang makan rambut sendiri, barang kali tak mampu menahan lapar sama seperti dirinya.

Dalam keadaan tertanya-tanya bilakah seksaan itu bakal berakhir, Royzilee merasakan satu tangan besar mengutip dirinya lalu dicampakkan ke padang pasir. Aneh, kulit yang tadinya rentung terbakar serta-merta mengelupas jadi bersih. Hatinya berdetik, kalaulah ini Kiamat, di mana pula orang lain? Ketika meninjau sekeliling, dia terlihat satu padang hijau. Dek kerana dahaga yang amat sangat, Royzilee berlari-lari anak menuju ke arah padang itu. Sebelum sempat memasuki kawasan subur tersebut, muncul seorang lelaki berjubah.

“Sambil tersenyum dia hulurkan pakaian pada saya. Di tangannya terdapat air dan sebiji kurma warna keemasan,” imbaunya. Sebaik sahaja air melalui tekak, bukan sahaja dahaga yang hilang tetapi kepuasannya tidak dapat digambarkan. Pada fikirannya bagai baharu minum selautan air dan tidak mungkin rasa dahaga sampai beratus tahun lagi. Bermacammacam rasa makanan enak pula bagaikan terkandung dalam sebiji kurma yang diberikan kepadanya.

Sumber:
Sinar Harian

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes