Ikut cara Nabi lawan provokasi



MENCINTAI Nabi Muhammad s.a.w termasuk dasar agama dan akidah. Ia menjadi pegangan umat Islam dan perlu berjalan seiringan. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah. Jika memang kamu cinta kepada Allah, maka ikutilah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah akan mencintaimu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang.” (Surah Ali Imran, ayat 31) Ayat ini juga disebut ulama ayatul imtihan ataupun ikhtibar. Ramai mengaku mereka cintakan Allah tetapi gagal mengikuti sunah Rasulullah. Ramai yang berkata ‘tidak mahu ikut’ atau ‘tidak boleh ikut’ kerana apa yang Nabi lakukan adalah sesuai untuk zamannya saja. Ini bermakna, seseorang itu gagal melaksanakan perintah ayat terbabit. Seseorang itu mendakwa cinta kepada Allah dan Rasul mengapa tidak mahu mengikuti Baginda?

Ini satu bahaya besar apatah lagi jika kita letakkan kitab Sahih al-Bukhari sebagai rujukan. Mungkin ada yang berkata, mengapa perlu mengkaji Sahih al-Bukhari kerana kitab ini memecah-belahkan umat. Kenyataan ini amat berbahaya kerana memberi indikasi tidak mahu mengikuti sunah Nabi. Namun, ramai yang berkata demikian kerana jahil dan tidak tahu. Jika Allah atau Nabi dicaci, mereka akan marah tetapi cuba kita ceritakan mengenai sunah Nabi, mereka tidak mahu mendengarnya. Mereka hanya bersemangat tetapi itu tidak mencukupi. Lihat apa yang berlaku kepada kerajaan Arab Saudi apabila isu karikatur yang menghina Rasulullah disiarkan. 

Kerajaan Arab Saudi mengarahkan agar produk dari negara terbabit diboikot. Bagi menangkis serangan itu, mereka menghasilkan satu siri penulisan mengenai Nabi yang diterjemah dalam banyak bahasa dan ia diberi percuma kepada orang ramai. Ini yang sepatutnya kita lakukan untuk menangkis serangan itu, bukan sekadar emosi semata. Paling penting ialah penjelasan berdasarkan ilmu dan fakta sahih. 

Sebelum hijrah, Rasulullah pernah menghantar Mus’ab bin Umair ke Madinah untuk berdakwah dan sahabat Baginda itu menjadi duta untuk menceritakan mengenai Islam. Persepsinya sama seperti sekarang ini iaitu tuduhan bahawa Nabi Muhammad ini mengancam ketenteraman atau pengganas. Orang Makkah memberitahu penduduk Madinah bahawa Nabi Muhammad memecah-belahkan umat. Itulah persepsi yang disampaikan pihak musuh Islam. 

Mus’ab bersama As’ad bin Zurarah berjumpa pembesar-pembesar di Madinah untuk menjelaskan tuduhan itu. Namun, mereka enggan mendengar penjelasan tersebut. Tetapi Musab meminta izin untuk bercakap dengan katanya: “Jika apa yang saya katakan ini benar, bolehlah tuan menerimanya tetapi jika perkara ini tuan tidak boleh menerimanya dan menganggap tidak benar, maka saya akan pergi.” Namun, selepas mendengar hal sebenar, wajah mereka berubah malah pembesar-pembesar Madinah seperti Usaid bin Hudair dan Sa’d bin Mu’az memeluk Islam kerana mereka mengetahui hakikat sebenar Islam. 

Pengajaran daripada cerita itu, apabila persepsi orang salah kepada kita, kita perlu huraikan, usah menyalahkan orang lain atau terlalu emosi. Dalam kes filem menghina Nabi Muhammad, rakyat Amerika dan Duta Amerika Syarikat ke Lubnan tidak bersalah dan tidak wajar dihukum. Jadi inilah yang pentingnya apabila kita hendak bertindak, lakukan dengan berpandukan al-Quran dan sunah. Tindakan terbaik adalah kita renungkan kisah bagaimana Nabi Muhammad menangani dan berinteraksi dengan orang yang sering membuat onar dalam dakwah Baginda. 

Abu Hurairah menceritakan seperti mana diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya. Rasulullah mengirim satu pasukan berkuda ke daerah Najd. Mereka pulang dengan membawa seorang tawanan lelaki dari Bani Hanifah bernama Thumamah bin Uthal, pemimpin penduduk Yamamah. Mereka mengikatnya di salah satu tiang Masjid Nabi. Satu hari Rasulullah keluar menemui tawanan itu. Baginda bertanya, “Bagaimana keadaanmu, wahai Thumamah?” Tawanan itu menjawab, “Baik-baik saja wahai Muhammad. Jika kamu mahu membunuh aku maka bunuhlah, namun pasti mereka akan membalas dendam. Jika kamu memberikan suatu nikmat (dengan membebaskanku) maka aku ucapkan jutaan terima kasih. Jika kamu meminta harta maka aku akan berikan berapa banyak yang kamu mahu.” 

Tiga hari berturut-turut Nabi bertanyakan soalan yang sama dan dijawab dengan jawapan yang sama. Kemudian pada hari ketiga Rasulullah bersabda kepada sahabat, “Bebaskan Thumamah.” Lalu Thumamah berangkat menuju ke kawasan kebun tamar. Selepas mandi, dia memasuki masjid dan mengucapkan kalimah, “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba serta utusan-Nya. 

“Wahai Muhammad! Di muka bumi ini tidak ada wajah yang paling aku benci daripada wajahmu sebelum ini. Tetapi, kini wajahmu paling aku suka di antara wajah-wajah yang pernah aku temui. “Sebelum ini tidak ada agama yang paling aku benci daripada agamamu dan sekarang hanya agamamulah yang paling aku sukai di antara agama-agama yang pernah aku temui. “Dahulu negerimulah yang paling aku benci, tetapi sekarang negerimulah yang paling aku cintai di antara negeri-negeri yang pernah aku kenal.” (riwayat al-Imam Muslim, No. 1764) Apa yang telah berlaku kepada Thumamah adalah dia telah memasuki Islam kerana ketika dia di dalam Masjid Nabi, dia dapat melihat aktiviti orang Islam seperti solat dan mesyuarat. 

Malah, dia dilayan dengan baik ketika dalam tahanan. Nabi juga berinteraksi secara baik. Semua ini menjadikannya mengiktiraf kebenaran Nabi Muhammad. Banyak tanggapan dan persepsi terhadap agama Islam itu disampaikan dengan cara yang tidak benar. Hikmah dan kebijaksanaan Nabi ialah dengan menunjukkan akhlak yang baik dan amalan-amalan murni dalam Islam. Umat Islam harus konsisten dengan akhlak dan adab yang mulia dan usah mudah melenting atau melatah dengan provokasi yang sengaja dicipta Barat terhadap umat Islam. 

*****Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sumber:
Harian Metro 05102012
oleh Dr Fadlan Mohd Othman

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes