4 Dibunuh Cuba Curi Mayat Ketua Kartel Dadah


Anggota marin Mexico membunuh empat lelaki bersenjata yang cuba mencuri mayat ketua kartel dadah Zetas yang dibunuh tentera sehari sebelum itu di negeri Veracruz. Kerajaan negeri berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu mahu mengambil mayat Angel Enrique Uscanga atau nama gelarannya, “The Pokemon” yang dikenal pasti sebagai pemimpin kumpulan ganas di wilayah itu. Kumpulan lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah anggota marin dari kenderaan mereka sebaik tiba malam Sabtu lalu dekat bangunan di bandar Cordoba, di mana pihak berkuasa menyimpan mayat Uscanga dan empat lagi yang mati dalam pertempuran dengan tentera. Anggota marin membalas tembakan dan membunuh empat lelaki bersenjata terbabit. Pihak berkuasa turut merampas bom tangan dan senjata lain.

Pada Oktober lalu, pemimpin kartel Zetas Heriberto Lazcano ditembak anggota marin Mexico di utara negara itu dan mayatnya dicuri dari rumah mayat 12 jam kemudian. Keadaan itu menimbulkan keraguan di Mexico mengenai sama ada pemimpin dadah itu benar-benar terbunuh, tetapi pihak berkuasa berkata, cap jari dan foto yang diambil sebelum kecurian itu membuktikan mangsa telah dibunuh.


Pihak berkuasa Veracruz berkata, Uscanga dan empat lagi lelaki dibunuh dalam pertempuran dengan tentera Khamis lalu, tetapi kerajaan tidak memberikan maklumat lanjut mengenainya selain menyatakan ia juga berlaku di Cordoba. Anggota marin merampas enam raifal, satu roket dan sebuah pelancar roket. - AP

Sumber:
Harian Metro

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes