Ratu Cantik Melaram Sakan


PULUHAN wanita jelita dari seluruh dunia berkumpul untuk bersaing dalam pertandingan Ratu Cantik Miss Universe ke-61, minggu lalu. Seperti pertandingan sebelum ini, setiap finalis dikehendaki mengenakan pakaian istimewa bagi mewakili negara masing-masing. YESSICA Mouton muncul mempesona penonton dengan rekaan berasaskan bunga-bungaan yang menjadi kebanggaan Bolivia. KARINA Gonzalez dari Mexico mengangkat kegemilangan suku kaum Aztec yang padat dengan pelbagai simbol purba. KEGEMILANGAN Dinasti Ching menjadi sumber ilham rekaan pakaian Ratu China, Xu Jidan.



Tidak seperti pertunjukan fesyen berprestij, peserta pertandingan ratu cantik itu mempamerkan fesyen agak pelik dan unik. Daripada fesyen tiram oren hingga coli pisang, sayap terumbu karang dan pakaian diperbuat daripada coklat, 88 peserta terbabit mempamerkan keunikan masing-masing dalam pertandingan berlangsung selama dua jam di Las Vegas itu. Pemerhati berpendapat, peragaan ‘fesyen kebangsaan’ itu adalah satu daripada pertunjukan paling luar biasa pernah diadakan setakat ini. Wakil Guam, Alyssa Cruz Aguero, menggunakan tiram oren yang luar biasa di negaranya untuk menghasilkan bikini menarik dan dipadankan dengan pelbagai aksesori.


Hos majlis adalah antara peminat rekaan berkenaan apabila dia mengakui secara terbuka dari atas pentas.  Wakil St Lucia, Tara Edward, kemudian mengambil giliran mempesona penonton dengan jalinan coli pisang yang disesuaikan dengan perhiasan kepala unik. Daun pisang di belakangnya dan korsaj besar di pinggang melengkapkan penampilan tropika Tara. Sementara itu, Ratu Bolivia, Yessica Mouton, memilih bunga kebangsaan negaranya sebagai inspirasi peragaan pakaiannya.


Sejumlah perhiasan berbentuk bunga eksotik bersama bunga helikonia digabungkan dengan perhiasan kepala besar berbentuk seperti sesungut berwarna-warni. Tidak ketinggalan mencuri perhatian ramai ialah Ratu Honduras, Jennifer Andrade, yang mengenakan pakaian seberat kira-kira 35 kilogram dengan menampilkan hiasan batu permata, kulit kerang dan mutiara yang menutupi sayap hiasannya.

Hiasan kepala Jennifer pula dibuat begitu tinggi dan digayakan dengan bikini bagi menggambarkan keadaan terumbu karang yang ada di perairan Honduras. Turut tampil dengan penuh bergaya ialah wakil dari Virgin Islands, Abigail Hyndman, yang pernah dididik untuk menjadi rahib sebelum menyertai pertandingan ratu cantik kali ini. Pada gaunnya, Abigail mempamerkan imej kulit kerang, karang dan udang kara. Ratu Peru pula tampil dengan rekaan kompleks seperti gunung-ganang dan hutan yang melitupi negaranya.

Nicole Faveron memilih rekaan menawan yang dipadankan dengan kasut but tinggi, mahkota berbulu serta jubah besar. Walaupun pemerhati menganggap fesyen itu tidak benar-benar melambangkan alam semula jadi, ia ternyata kelihatan “menggunung.” Ratu Mexico, Karina Gonzalez, muncul dengan fesyen seolah-oleh memberikan pendidikan seni dan kraf.

Karina mengangkat kegemilangan tamadun Aztec dengan pelbagai simbol yang dihasilkan daripada bulu burung merah, batu permata, manik dan perak. Walaupun wakil dari Amerika Syarikat, Olivia Culpo, 20, berjaya membawa pulang mahkota kemenangan ke Amerika Syarikat untuk kali pertama dalam tempoh 15 tahun, rekaan fesyen dengan inspirasi tugu Statue of Liberty diyakini bukan menjadi faktor juri memilihnya sebagai pemenang.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my

Share this:

 
Copyright © [ wa23r ] Deviate Form The Norm. Designed by OddThemes & VineThemes